Tindakan padam kebakaran dapat pujian

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Tindakan pantas empat orang lelaki memadamkan kebakaran dalam insiden kebakaran unit kedai di Kompleks Utama Bumiputera, Pekan Bangar pada 11 Julai lalu, mendapat pujian serta penghargaan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP).

Sehubungan itu, JBP melalui Cawangan Operasi G telah menyampaikan Sijil Masyarakat Berjasa dalam majlis yang berlangsung di Balai Bomba Bangar, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, sijil disampaikan oleh Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Mohd Ameer Mubarak bin Pengiran Haji Hashim kepada 16978 Sjn Mohamad Hildy bin Wahaja, Awang Joraidi @Puasa bin Labar, Pengiran Maswirasyahmi bin Pengiran Momin dan Awang Roslan bin Duah.

Turut hadir bagi menyaksikan penyampaian sijil berkenaan ialah Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi G, Haji Afiq bin Haji Julah.

Dalam kenyataan itu juga, JBP menyarankan orang ramai termasuk pemilik kedai untuk memastikan kedai mereka dilengkapi dengan peralatan keselamatan iaitu alat pemadam api jenis debu kering 4 kilogram dan selimut api serta menutup suis mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan kedai.

JBP juga menyatakan bahawa jabatan itu menyediakan program-program keselamatan seperti Taklimat Life Saver 995 dan Kursus Marsyal Bomba bagi membantu mereka yang berminat mengetahui aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara betul bagi penggunaan alat pemadam api.

Kenyataan juga menyatakan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, orang awam hendaklah menghubungi terus talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Pengiran Mohd Ameer Mubarak bergambar ramai dengan para penerima Sijil Masyarakat Berjasa dan pegawai-pegawai bomba dan penyelamat selepas Majlis Penyampaian Sijil Masyarakat Berjasa yang berlangsung di Balai Bomba Bangar, Temburong, kelmarin. – Gambar serahan JBP