Oleh Sim Y.H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Tindakan pantas seorang pekerja warga India telah berjaya memadam kebakaran yang berlaku di sebuah rumah di Kampung Mentiri, pagi tadi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), lima orang anggota bomba dari Balai Bomba Muara dengan diketuai oleh Watch Komander Pasukan ‘C’, ASO Abas bin Haji Ahmad telah dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 11:26 pagi.
Kenyataan menyatakan, apabila tiba di tempat kejadian, pihak bomba mendapati api telah pun dipadamkan oleh pekerja dari Syarikat Hj Zainal iaitu Kazirifat.
Kebakaran itu melibatkan bahagian kertas bumbung rumah berkenaan dan anggota bomba bertindak memeriksa bumbung yang terlibat dengan membawa alat pemadam api jenis debu kering. Punca api dan anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.
Sehubungan itu, JBP menyarankan orang ramai supaya memastikan kediaman dilengkapi dengan peralatan keselamatan iaitu alat pemadam api seperti jenis debu kering, selimut api atau alat pengesan asap, memastikan pemasangan pendawaian dan peralatan elektrik dalam kediaman dilaksanakan oleh pekerja yang bertauliah serta memastikan menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah.