Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Tindakan responsif penting untuk pembangunan mapan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MEI – Agenda bersama adalah penting untuk memastikan pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030 di rantau ini kembali ke landasan yang betul.

    Perkara ini dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud ketika menghadiri Sesi Persidangan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (ESCAP) ke-78 secara maya pada hari ini.

    Dalam menggerakkan usaha kolektif dalam melaksanakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa kemajuan perlindungan kesihatan sejagat menjelang 2030 mesti dipercepatkan.

    Dengan memanfaatkan hubungan dua hala dan pelbagai hala, daya tahan dalam sistem penjagaan kesihatan boleh diperkukuhkan lagi. Oleh itu, sumbangan kerjasama ESCAP yang sedia ada adalah dihargai, dan kemajuan seterusnya dialu-alukan.

    Yang Berhormat Dato seterusnya menekankan kepentingan tindakan serantau yang responsif terhadap ancaman perubahan iklim memandangkan kerjasama tersebut dilihat penting dalam mendukung komitmen Negara Brunei Darussalam untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 20 peratus menjelang 2030.

    Bersandarkan kemajuan ESCAP dalam perlindungan alam sekitar, Yang Berhormat Dato menyatakan ESCAP perlu menerokai lebih banyak laluan cekap untuk mengurangkan GHG.

    Sebagai kesimpulan, Yang Berhormat Dato mengiktiraf peranan penting ESCAP dalam memupuk kerjasama dan membimbing kemajuan rantau Asia-Pasifik sebaik saja agenda bersama diluluskan.

    Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri merakamkan penghargaan di atas kerjasama yang diberikan oleh ESCAP, terutamanya menerusi pembinaan kapasiti dan bantuan teknikal.

    Sesi ke-78 menghimpunkan ahli-ahli ESCAP bagi membincangkan masa depan kerjasama serantau dalam memajukan Agenda Pembangunan Mampan 2030.

    Sesi tersebut dijangka meluluskan Deklarasi Bangkok sempena ulang tahun ESCAP ke-75 bertajuk ‘A common agenda to advance sustainable development in Asia and the Pacific’ yang secara asasnya menegaskan semula komitmen para ahli ESCAP dalam memajukan Agenda Pembangunan Mampan 2030.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti semasa menghadiri Sesi Persidangan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik ke-78 secara maya, kelmarin.- Gambar serahan JPM
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...