‘Tindakan Salvini satu penghinaan’

MADRID, 20 OGOS – Sepanyol kelmarin mengkritik Menteri Dalam Negeri Itali, Matteo Salvini yang menolak untuk membenarkan 107 pendatang bersama sebuah kapal amal untuk turun di pelabuhan Itali sebagai satu penghinaan.

The Open Arms telah berlabuh sejak Khamis lalu di pulau Lampedusa dan beberapa pendatang yang diselamatkan telah menghabiskan masa mereka selama 18 hari di atas kapal.

Enam negara Kesatuan Eropah iaitu Perancis, Jerman, Romania, Portugal, Sepanyol dan Luxembourg telah menawarkan diri mereka untuk memberi bantuan.

Tetapi Salvini, yang telah membawa kerajaan Itali ke dalam krisis bagi pilihan raya terbaharu, enggan membenarkan kapal yang menyelamatkan pendatang untuk berlabuh berikutan dengan peraturan negara itu yang ketat.

“Apa yang dilakukan oleh Salvini terhadap Open Arms adalah satu penghinaan terhadap manusia secara keseluruhan,” kata Menteri Pertahanan Sepanyol, Margarita Robles kepada pemberita di Madrid.

Kapal penyelamat Open Arms dilihat berada di luar pantai pulau Lampedusa, Itali pada 17 Ogos lalu. – AFP

Salvini telah ‘membahayakan banyak nyawa manusia’ untuk ‘tujuan pilihan raya secara eksklusif’, tambahnya lagi.

Isnin lepas, Open Arms memberitahu AFP melalui telefon bahawa pengawal pantai telah membenarkan pemindahan lapan orang dalam kapal berkenaan yang ‘memerlukan bantuan segera’ ke pulau Lampedusa.

Pendatang-pendatang berkenaan juga mengalami kecederaan atau jangkitan dan kebanyakan mereka yang berada di dalam kapal berkenaan berdepan dengan trauma dan tekanan, katanya sambil menambah bahawa keadaan tersebut jika berterusan akan menjadi semakin rumit.

Tetapi kapal menyelamat berkenaan tetap terus menuntut agar semua kapal diizinkan masuk ke Lampedusa. – AFP