Tindakan tegas akan dikenakan

SERIAN, 13 April – Perintah pemberhentian kerja akan dikeluarkan serta-merta jika berlaku kemalangan di tapak projek pembinaan Lebuh raya Pan Borneo, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot.

“Sebaik sahaja menerima aduan, pihak berkuasa akan bertindak dalam masa tiga jam di tempat kejadian untuk menyiasat punca kemalangan.

“Kami akan mengambil tindakan tegas dengan segera,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sekolah dan Projek Pembinaan Lebuh raya Pan Borneo Sarawak 2018 di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini tiada laporan mengenai kemalangan di tapak pembinaan Pan Borneo.

“Jika ada laporan diterima, pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas pemaju yang mengabaikan aspek keselamatan di tapak binaan dan tidak mematuhi undang-undang,” kata beliau.

Riot juga berkata kementerian menerusi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mahu orang ramai memberikan perhatian serius mengenai aspek keselamatan dan kesihatan agar kadar kemalangan pekerja dapat dikurangkan.

Beliau berkata aspek keselamatan dan kesihatan harus diambil serius kerana kemalangan boleh berlaku di mana-mana sahaja tanpa mengira waktu dan tempat.

“Berdasarkan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 2016-2020 (OSH MP 2016-2020), antara matlamatnya adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan daripada 2.81 kes bagi setiap 1,000 pekerja kepada 2.53 kes.

“Mengenai kadar kemalangan maut pula, NIOSH mahu mengurangkannya daripada 4.84 kematian bagi setiap 100,000 pekerja kepada 4.36 kematian. Saya pasti kedua-dua kadar ini akan menurun jika majikan, pekerja dan orang ramai berkerjasama menitik beratkan keselamatan dan kesihatan,”katanya.

Turut hadir Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Dr Mohd Gazali Abas, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar dan Ketua Pengarah JKKP, Ir Omar Mat Pia. – Bernama