Thursday, February 13, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tindakan tegas jika sentuh sensitiviti agama

    JOHOR BAHRU, 7 Mei – Pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama dan perkauman berhubung kes pergaduhan di hadapan sebuah surau di Taman Austin Perdana di sini, Jumaat lalu.

    Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata segala laporan mengenai kenyataan berkaitan isu berkenaan akan diserahkan kepada Unit Siasatan Khas Bukit Aman.

    “Polis akan mengambil tindakan kepada mana-mana individu yang mengeluarkan kenyataan melampau selepas semua bukti dikumpul. Mereka boleh mendakwa bahawa laman sosial mereka digodam oleh pihak lain tetapi kami tetap akan siasat sama ada kenyataan tersebut memang digodam atau datang daripada mereka sendiri.

    “Pihak polis juga banyak kali memberi amaran tetapi sering kali amaran tersebut dianggap remeh dan dicemuh. Walaupun masyarakat hari ini mendabik dada kononnya laman sosial membuat mereka menjadi lebih bijak tetapi apabila laman sosial itu disalah guna, tindakan tetap akan diambil, oleh itu saya nasihatkan dengarlah arahan dan amaran polis,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan Persatuan Pesara Polis Negeri Johor Darul Takzim kali ke-56 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor Bahru di sini hari ini.

    Menurutnya lagi, tindakan pantas pihak polis juga berjaya mengekang kejadian tersebut daripada diperbesar-besarkan oleh parti-parti politik.

    “Tugas polis untuk mengawal ketenteraman awam ini bukan mudah dan memerlukan pengalaman kerana kalau isu itu dibiarkan dan tidak ditangani secepat mungkin, ia boleh ‘meletup’ dan apabila itu berlaku, akan menjadi sukar untuk mengembalikan ketenteraman awam.

    “Tindakan pantas polis Johor mengawal keadaan harus dipuji, kerana kalau lambat kita risau ada ahli politik yang masuk campur dan mengapi-apikan keadaan sehingga menjadi isu perkauman dan keagamaan,” jelasnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda