Tindakan tegas terhadap pegawai, anggota terlibat penyeludupan PATI

LUNDU, SARAWAK, 21 JUN – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang terbabit dalam jenayah pemerdagangan manusia.

Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang berkata, ketika ini pihak polis masih lagi menyiasat dan melihat secara agresif untuk mengenal pasti mereka yang terlibat dan menjadi tali barut.

“Mana yang sudah ditahan polis kita serahkan kepada polis untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang awam. Mana yang mungkin masih terlibat, kita (ATM) akan cari dan tentukan mereka dapat dikesan, ia tidak akan berhenti di situ dan saya memberi jaminan lebih ramai lagi yang akan ditangkap,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pos Gabungan Bersama ATM dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) di Kem Jawatankuasa Perancangan Gerakan (JPG) Biawak di sini hari ini.

Pada lawatan itu beliau turut menyampaikan bungkusan Aidilfitri dan Gawai.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, puluhan pegawai dan anggota polis serta ATM terlibat dengan sindiket penyeludupan PATI.

Menurut Abdul Hamid, pembabitan pegawai dan anggota daripada agensi lain juga sedang disiasat agar dapat menyekat sindiket dan menghapuskan pembolosan pendatang tanpa izin. – Bernama