SEORANG lelaki berusia 47 tahun dari La Paz, wilayah Agusan del Sur, Filipina, sudah tidak menjejaki tanah sejak dari tahun 2014, dan memanjat pokok kelapa setinggi 60 kaki berdekatan dengan rumahnya.
Dia tidak pernah turun sejak itu dan mungkin saja tinggal di atas pokok tersebut seumur hidupnya jika pihak berkuasa tidak menyelamatkannya secara paksa baru-baru ini.
Lelaki itu, yang dikenal pasti sebagai Gilbert Sanchez, telah meninggalkan rumahnya untuk hidup di atas pokok kelapa berdekatan tiga tahun yang lalu, selepas kepalanya dihentak menggunakan pistol, semasa perbalahan berlaku.
Ibunya masih ingat bahawa dia sangat takut pada ketika itu yang beranggapan seseorang akan membunuhnya.
Oleh itu, salah satu cara untuk terus selamat adalah memanjat pokok yang paling tinggi dan tinggal di sana. Dan itulah yang dilakukannya selama tiga tahun yang lalu, terus bergantung hidup melalui makanan dan minuman yang dibawa oleh ibunya setiap hari.
Ibunya akan menghantar hidangan itu dengan menggunakan tali yang diubahsuai. Dia tetap berada di atas pokok itu walaupun hujan ribut melanda, bahang panas yang membara atau gigitan serangga. Semua itu tidak membuatkannya untuk turun.
Winifreda Sanchez, ibu Gi-bert, telah cuba menyakinkannya agar dia turun dari pokok tersebut, walaupun hanya untuk mandi. Namun dia sering menolaknya. Apa yang boleh dia lakukan adalah menghantar makanan, minuman, pakaian dan juga rokok untuknya setiap hari, dengan harapan agar anaknya itu terus hidup.
Dia akan berteriak kepadanya untuk menurunkan talinya, mengikat bekalan dengan ketat, dan kemudian ditarik ke atas pokok dan menikmatinya di sana.
Aldrin Sanchez, abang Gilbert, berkata bahawa dia dan ahli ke-luarga lainnya sentiasa berharap agar dia turun, namun dia hanya melambai kepada mereka.
“Pernah sekali, saya memintanya untuk turun,” kata Aldrin kepada KMJS Exclusives. “Dia berkata ‘Senyaplah, saya tidak akan turun. Seseorang akan membunuh saya jika saya berbuat demikian.”
Gilbert Sanchez adalah seorang duda sejak tahun 2000, ketika isterinya meninggal dunia semasa melahirkan anak kedua mereka. Dia sama sekali tidak akan turun dari rumah-pokoknya itu apabila ibunya memberitahunya bahawa dia terlalu tua untuk menjaga anak-anaknya dengan baik, dan mereka juga tidak pergi ke sekolah lagi.
Walaupun semua orang di La Paz mengetahui kisah Gilbert Sanchez, tiada siapa yang berbuat apa-apa terhadapnya sehinggalah terpapar satu artikel mengenainya dan menjadi tular di media sosial dan akhirnya menjadi berita utama di Filipina.
Mereka menghantar kru filem ke kampung halamannya, dan membuat liputan di sana. Akhirnya pihak berkuasa tempatan membantu keluarga lelaki tersebut untuk menurunkannya dari pokok itu.
Pada 11 Oktober lalu, sekumpulan 50 orang bersama keluarga Gilbert cuba meyakinkannya agar turun secara sukarela, sekali lagi.
Kumpulan tersebut mula memotong pokok kelapa tersebut dengan menggunakan gergaji rantai. Ia adalah satu operasi yang sukar, kerana jika silap sedikit, ia boleh membawa maut kepada lelaki tersebut. Namun, semuanya berjalan dengan selamat dan lancar.
Akhirnya Gilbert menjejaki permukaan tanah, selepas tiga tahun yang panjang.
Video yang disebarkan dalam Facebook itu memaparkan badan Gilbert Sanchez dipenuhi lepuhan dan gigitan serangga. Dia juga mengalami masalah otot atrofi dan tulang belakangnya cacat kerana terlalu lama membongkok di pohon tersebut. Manakala ingatannya mengalami kerosakan yang amat teruk.
Menurut penilaian awal pakar psikiatri, lelaki berusia 47 tahun itu menunjukkan tanda-tanda psikosis, termasuklah delusi, halusinasi dan juga ketakutan yang mana seseorang akan cuba untuk membunuhnya. Dia telah pun diberi ubat-ubatan, dan perlu mengambilnya secara tetap untuk menjalani kehidupan yang normal.
Kisah tragis Gilbert ini telah memberi impak dalam media sosial di Filipina, di mana ramai pengguna bertanyakan bagaimana mereka akan membantu Gilbert untuk kembali hidup seperti biasa. Satu akaun bank atas nama Winifreda Sanchez telah ditubuhkan agar orang ramai dapat menderma apa sahaja yang mereka mampu demi membantu keluarga tersebut.