Tinggal secara haram, 12 bulan penjara tiga sebatan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Seorang lelaki warganegara Indonesia yang tinggal di negara ini secara haram telah dijatuhi hukuman penjara 12 bulan berserta tiga sebatan.

Parjan, 47, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapkan dan mengakui di hadapan Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid bahawa dia telah tinggal lebih masa dari 9 September 2016 sehinggalah dia ditangkap pada 13 September 2020.

Pendakwa Imigresen Adi Yusra bin Haji Adanan selanjutnya mendedahkan bahawa tertuduh ditangkap oleh anggota Balai Polis Sungai Liang di sebuah restoran di Jalan Pantai kerana disyaki melanggar undang-undang imigresen.

Tertuduh kemudiannya diserahkan kepada penguat kuasa imigresen yang mana hasil daripada penyiasatan juga mendapati bahawa tertuduh telah tinggal lebih masa di negara ini selama seminggu pada 31 Ogos 2016.

Pihak imigresen kemudian mengeluarkan kebenaran khas kepadanya dan tertuduh kali terakhir melaporkan diri pada 7 September 2016 dan lulus bagi mendapatkan lanjutan kebenaran khas sehingga keesokan harinya.

Tertuduh kemudiannya menghilang dan menurutnya dia tinggal secara haram di negara ini dengan bekerja mengambil buah kelapa.