Tinggalkan Korea U guna troli kereta api

SEOUL, 26 FEB – Diplomat Rusia bersama ahli keluarga mereka termasuk kanak-kanak berusia tiga tahun meninggalkan Korea Utara menggunakan troli kereta api.

Mereka bertindak nekad menggunakan troli yang perlu ditolak secara manual menggunakan tangan berikutan sekatan ketat Pyongyang bagi mengelakkan penularan koronavirus.

Video dipaparkan di akaun Telegram Kementerian Luar Rusia itu menunjukkan troli sarat dengan beg pakaian dan turut menempatkan beberapa wanita, ditolak melintasi jambatan sempadan kereta api oleh Setiausaha Ketiga, Kedutaan Rusia, Vladislav Sorokin.

Mereka melambai dan bersorak kegembiraan ketika menghampiri sempadan Rusia, selepas melalui ekspedisi panjang. Ia bermula dengan perjalanan kereta api selama 32 jam dari Pyongyang, sebelum menaiki bas selama dua jam menuju ke sempadan.

“Ia mengambil masa yang panjang dan sukar untuk kembali ke tanah air tetapi akhirnya mereka mengharungi laluan paling penting iaitu berjalan kaki untuk tiba ke sempadan Rusia,” kata kementerian itu dalam satu hantaran semalam. – AFP

Diplomat Rusia bersama ahli keluarganya menaiki troli kereta api yang perlu ditolak secara manual bagi meninggalkan Korea Utara. – AFP