Tingkat amal 10 malam terakhir

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Lailatulqadar adalah satu malam yang istimewa yang dianugerahkan Allah SWT bagi memuliakan umat Nabi Muhammad SAW dan anugerah itu tidak pernah diberikan kepada umat-umat yang sebelumnya.

“Ketahuilah pada malam lailatulqadar Allah SWT mengampunkan dosa hamba-hambaNya yang beribadah kepadaNya dengan penuh keimanan kerana mengharapkan keredaan Allah SWT,” kata khatib dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Mempertingkatkan Amal Ibadat di Malam 10 Terakhir Bulan Ramadan’.

Menurut khatib lagi, pada malam 10 terakhir inilah masanya untuk umat Islam sewajarnya merebut peluang untuk meningkatkan lagi ibadah dan amal kebajikan seperti mana yang dilakukan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW yang menghidupkan malam-malam 10 terakhir dengan melakukan pelbagai amal ibadat melebihi yang biasa Baginda lakukan di bulan-bulan lain.

Jelasnya lagi, peningkatan amal ibadah yang dilakukan Baginda Rasulullah SAW tersebut adalah bagi menyambut kedatangan malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu malam lailatulqadar.

“Oleh itu, kita hendaklah memperbanyakkan dan melipatgandakan ibadah dan amal kebajikan bagi merebut kelebihan dan keuntungan yang tidak ternilai harganya itu,” jelas khatib.

Sesungguhnya lailatulqadar itu tidak ditentukan saat dan waktu kerana ia adalah perkara rahsia dan hanya Allah SWT sahajalah yang mengetahuinya. Hikmahnya adalah supaya kita tekun berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk beribadah dan membuat amal kebajikan pada setiap malam pada bulan Ramadan dan tidak akan hanya beribadah pada malam-malam yang tertentu sahaja.

Walau bagaimanapun Rasulullah SAW menjelaskan dalam hadis Baginda untuk mencari lailatulqadar itu pada 10 hari terakhir di bulan Ramadan dan pada tiap-tiap malam yang ganjil.

“Sekarang kita telah berada di penghujung bulan Ramadan. Dengan berakhirnya bulan Ramadan bererti umat Islam akan meraikan dan menyambut hari raya Aidilfitri,” katanya.

Sehubungan dengan itu, khatib mengingatkan untuk mengamalkan kesederhanaan bagi mengelakkan pembaziran semasa meraikannya.

“Sambutlah Aidilfitri secara sederhana dan berhemah, jangan berbelanja lebih daripada kemampuan yang hanya akan menyusahkan diri sendiri.

“Semasa membuat persiapan hari raya juga janganlah kita leka dan dilalaikan dengan persiapan menjelang hari raya kerana kita sewajarnya merebut peluang pada hari yang masih berbaki dari bulan Ramadhan ini untuk mempertingkatkan lagi ibadah dan amal kebajikan,” tambah khatib.

Selain itu, khatib diingatkan supaya jangan lupa untuk mengeluarkan dan membayar zakat fitrah untuk diri sendiri dan juga tanggungan.

Khatib turut menyeru agar bersama-sama meraikan hari kemenangan iaitu Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang dengan melakukan segala yang disuruh dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah SWT dengan tidak mencemari sambutan tersebut dengan perkara-perkara dosa dan maksiat setelah sebulan kita berpuasa.

Mudah-mudahan ibadah puasa dan segala amal kebajikan yang kita lakukan di sepanjang bulan Ramadan dan juga bulan yang lain akan diterima Allah SWT dan kita semua mendapat berkat dan rahmat serta keampunan daripada Allah SWT.