Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Tingkat amalan dengan bermunajat

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Bagi sama-sama meningkatkan amalan dengan bermunajat kepada Allah SWT, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah meneruskan lagi Malam Munajat kali ke-24 dengan penyertaan warga dari Kementerian Tenaga secara maya, baru-baru ini.

    Majlis yang disertai oleh para jemaah dari 49 buah masjid di seluruh negara itu turut dihadiri Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; dan Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat bersama para jemaah di masjid berkenaan secara dalam talian.

    Seterusnya majlis disemarakkan lagi dengan bacaan Doa Munajat bagi memohon keampunan dari Allah SWT agar terhindar dari bala bencana serta penyakit merbahaya yang dibacakan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Haji Hassan bin Haji Metali.

    Pada majlis berkenaan, sebuah tazkirah bertajuk ‘Ku Milik Mu’ turut disampaikan secara maya oleh Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Widad binti Haji Abdul Aziz dari Brunei Hall, London, United Kingdom.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Tenaga semasa menyertai acara Malam Munajat yang diadakan secara dalam talian, baru-baru ini. -Gambar serahan KHEU

    Antara yang dijelaskan dalam tazkirah berkenaan ialah penghayatan kalimah ‘Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un’ yang disebutkan dalam Surah Al-Baqarah, ayat 156, yang bermaksud, ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepadaNya jualah kami kembali’ yang mana dengan mengungkapkan kalimah berkenaan ia mampu menyemai jiwa-jiwa insan untuk mengukuhkan lagi tauhid dan memperkasakan keimanan kita dengan mengakui bahawa Tuhan yang disembah hanyalah Allah Yang Maha Esa.

    Tambahnya, dengan penyataan kalimah ini juga kita reda bahawa kuasa Allah SWT mengatasi segala apa yang dirancang oleh manusia, dan kita mengaku bahawa kita adalah milik Allah SWT dan apa sahaja yang dikehendaki oleh Allah SWT adalah yang terbaik untuk kita sebagai makhlukNya. Perkara ini juga merupakan pengakuan bahawa kita semua pasti akan belayar kembali bertemu Allah SWT.

    Ujar Dr Widad lanjut, ungkapan kalimah berkenaan juga sebagai satu neraca yang memerlukan keseimbangan emosi. Setiap kali ianya diungkapkan, kita memujuk diri kita bahawa kita adalah makhluk Allah SWT yang akan diadili olehNya yang tidak pernah menzalimi mana-mana hambaNya. Maka apabila segala musibah melanda diri, kita akan tetap merasa tenang kerana mengetahui bahawa ujian yang disediakan oleh Allah SWT itu adalah untuk meraih kasih sayangNya jua.

    Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan kita supaya jangan pasrah sebelum berusaha dan jangan menyerah diri tanpa ada ikhtiar maka berusahalah dengan segala apa yang termampu kerana pengabdian kita melalui kalimah suci berkenaan menuntut kesungguhan seorang hamba itu berdiri di hadapan Allah SWT.

    Malam Munajat diperindahkan lagi dengan alunan bacaan Asma’ul Husna dan selawat beramai-ramai dipimpin oleh Pegawai Pelajaran di Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam, KHEU, Hajah Rohani binti Kamis.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...