Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah mengakui bahawa kitar semula amat diperlukan di negara ini.
“Apatah lagi penghasilan sampah kita dari segi per kapita adalah yang tertinggi di rantau ini. Jadi, sesuatu perlu kita buat untuk menangani perkara ini.”
Beliau berkata sedemikian ketika mengulas soalan yang diusulkan oleh Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari yang telah menyentuh mengenai perancangan Kementerian Pembangunan untuk mengumpul sampah dari rumah-rumah secara berperingkat dengan bantuan syarikat swasta. Yang Berhormat Dato juga menekankan bahawa orang ramai dan pihak swasta yang berkaitan perlu mengetahui dan menyedari bahawa barang-barang belian kebanyakannya boleh dikitar semula dan sama-sama memastikan agar barang-barangan seperti kertas, plastik, botol kaca, dan pelbagai lagi akan terus diasingkan supaya ia dapat diproses dengan baik.
Beliau juga menyambut baik cadangan Yang Berhormat Dayang Khairunnisa supaya Kementerian Pembangunan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam meningkatkan kebiasaan mengitar semula. Yang Berhormat Dato berkata, beliau amat mengalu-alukan kerjasama berkenaan dan berharap agar kerjasama berkenaan dapat dimulakan dengan serta merta.
Turut mengulas perkara berkenaan semasa Persidangan Majlis Mesyuarat Negara, hari ini, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman berkata, Program Kitar Semula memang ada dijalankan sebahagian sekolah di negara ini sebagai aktiviti kegiatan luar bagi mendidik dan meningkatkan kesedaran mengenai dengan kepentingan menjaga alam sekitar di kalangan warga sekolah. Pada masa yang sama, tambah beliau, pihak Kementerian Pendidikan juga mengambil maklum mengenai cabaran-cabaran yang dilaporkan oleh sebahagian sekolah yang menjalankan program seumpamanya termasuk jumlah syarikat yang mengutip bahan-bahan terbuang untuk dikitar semula adalah kecil, syarikat pengutip bahan tersebut hanya mengutip dalam kawasan terhad.
Pada masa ini, syarikat pengutip yang lazimnya dilantik oleh sekolah hanya mengutip sebahagian bahan terbuang untuk dikitar semula dan juga dengan harga yang lebih murah jika dibandingkan beberapa tahun yang lalu.
Walau apapun cabarannya, Yang Berhormat Pehin berkata, ia tertakluk kepada perancangan dan ikhtiar sekolah dalam menjalankan aktiviti kitar semula di sekolah masing-masing dalam sama-sama bertanggungjawab merealisasikan hasrat Negara Brunei Darussalam, menjadikan negara ini sebagai negara yang bersih dan mapan.
“Memandangkan isu alam sekitar adalah perkara yang perlu ditangani bersama, maka pihak Kementerian Pendidikan mengalu-alukan penglibatan pelbagai jabatan dari kementerian-kementerian lain, syarikat-syarikat atau pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan bagi sama-sama mendokong program kitar semula di sekolah-sekolah,” tambahnya lagi.