Thursday, October 5, 2023
27.6 C
Brunei

    -

    Tingkat amalan sekuriti siber

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Usaha terus dilaksanakan dalam komitmen untuk memperkukuhkan amalan sekuriti siber di Negara Brunei Darussalam di mana penggubalan Perintah Sekuriti Siber 2023 pada Mei lalu mencerminkan sebuah mercu tanda yang signifikan kepada komitmen berkenaan.

    Ia juga menandakan sokongan berterusan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi melindungi ruang siber negara serta peranan penting sekuriti siber kepada kemakmuran dan perkembangan negara.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya Interim Cyber Security Brunei (CSB), Awang Shamsul Bahri bin Haji Kamis dalam kata alu-aluannya pada Persidangan Sekuriti Siber Brunei 2023 yang berlangsung di Tarindak D’Seni, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian persidangan ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan swasta, jemputan khas serta peserta persidangan berkenaan.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary diberikan penerangan ketika menyaksikan pameran yang diadakan semasa Persidangan Sekuriti Siber Brunei 2023 yang berlangsung di Tarindak D’Seni, di ibu negara, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.
    YB Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bergambar-ramai selepas perasmian Persidangan Sekuriti Siber Brunei 2023, hari ini. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Sim Y. H.

    Awang Shamsul Bahri dalam kata alu-aluannya lagi menyatakan bahawa dengan pelaksanaan Perintah Sekuriti Siber 2023, CSB akan menerbitkan beberapa dokumentasi yang akan membantu pemilik dan bukan pemilik infrastruktur maklumat kritikal (CII) untuk mengangkat kedudukan sekuriti siber mereka ke tahap rangka kerja dan standard yang diterima.

    Beliau menambah bahawa Code of Practice for CII dan Garis Panduan bagi Mengendalikan Penilaian Risiko dan Audit bagi CII dihasratkan untuk memperkukuhkan lagi pertahanan digital kita dan memastikan bahawa tidak terdapat sebarang kelemahan yang tidak diperiksa di mana ia akan diterbitkan dalam masa yang terdekat.

    Di samping itu, CSB juga dalam peringkat akhir bagi menerbitkan pengemaskinian Strategi Sekuriti Siber Kebangsaan (NCSS), dalam tahun ini, tambahnya.

    Terdahulu, Presiden Persatuan Keselamatan Siber Brunei (BCSA), Awang Mohd Azad Zaki bin Haji Mohd Tahir dalam kata alu-aluannya menyatakan, BCSA ditubuhkan pada 14 Ogos 2023 di mana matlamatnya telah digariskan dalam perlembagaannya iaitu nilai-nilai dan misi yang perlu dilaksanakan supaya dapat meningkatkan lagi tenaga kerja sekuriti siber negara.

    Beliau menyatakan bahawa persidangan itu merupakan platform yang bermanfaat bagi perkongsian ilmu pengetahuan, kolaborasi dan inovasi dengan matlamat untuk meningkatkan kefahaman sekuriti siber serta memperkasakan setiap peserta dengan pandangan yang diperlukan untuk melindungi diri mereka, organisasi dan masa depan digital negara.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Iran ketatkan kawalan ke atas sekolah antarabangsa

    TEHRAN, 4 OKT - Ia merupakan permulaan penggal baharu di Iran tetapi tahun ini ia menyayat hati bagi pelajar di sekolah antarabangsa selepas keputusan...