Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah menandatangani kontrak perjanjian bersama Signature Trend Sdn Bhd bagi projek The Design, Development, Supply, Delivery, Installation, Testing, Commissioning and Maintenance of the Web-
Based Data Entry Platform and Data Analytics Visualization System, baru-baru ini.
Majlis penandatanganan di kementerian berkenaan telah dihadiri oleh Setiausaha Tetap KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, selaku tetamu kehormat majlis. Semasa majlis tersebut, kontrak perjanjian telah ditandatangani oleh Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Hajah Masliana Yuliah binti Abdullah dan bagi pihak Syarikat Signature Trend Sdn Bhd telah ditandatangani oleh pengarah syarikatnya, Dharmik Sheth.
Turut menyaksikan penandatanganan ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kedua, KSSUP, Hajah Dahliana binti Haji Aliakbar; Pemangku Timbalan Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Awang Abuzar bin Haji Mohd Tahir; dan Senior Data Analyst Syarikat Signature Trend Sdn Bhd, Awang Wafi bin Talipudin.
Matlamat utama projek adalah bagi meningkatkan pengemaskinian dan analisis data maklumat pengeluaran perusahaan pertanian dan agrimakanan serta produk import ke dalam negara dengan lebih efisien, di samping memastikan kecekapan pengurusan, pengumpulan dan penyimpanan data maklumat tersebut.
Dengan adanya sistem ini nanti juga, segala maklumat akan diperoleh dengan cepat dan tepat bagi para pelanggan sama ada daripada kalangan pengusaha mahupun orang ramai.
Sebarang perancangan setentunya dapat dikenal pasti jangkaan-jangkaan terhadap hasil pengeluaran industri tanaman, ternakan dan agrimakanan dalam memenuhi keperluan pelanggan dan orang ramai.
Projek ini adalah sejajar hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menggalakkan pembangunan transformasi digital ke arah negara pintar.
Projek seperti ini yang melibatkan teknologi maklumat akan meningkatkan kualiti ketelusan data yang diberikan oleh pihak yang berkenaan dan memudahkan penyaluran dan perkongsian data maklumat yang tertentu antara pihak kerajaan dengan stakeholder yang berkepentingan.