Tingkat daya kreativiti kanak-kanak

Oleh Nurdiyanah R.

 

TUTONG, 13 Sept – Dengan matlamat untuk mendidik anak-anak memanfaatkan cuti persekolahan dengan sebaik-baiknya, Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Daerah Tutong telah mengadakan aktiviti kraf tangan pada musim cuti penggal ketiga ini di Perpustakaan DBP daerah berkenaan pada pagi tadi.

Aktiviti untuk kanak-kanak berumur antara enam tahun hingga 12 tahun itu diadakan dengan tujuan untuk meningkatkan daya kreativiti mereka, di samping mendedahkan mereka dengan kemahiran berkomunikasi dengan lebih baik untuk mewujudkan keyakinan diri masing-masing. Semasa ditemui Media Permata, Pembantu Perpustakaan Tingkat I, DBP, Daerah Tutong, Dayang Noridah binti Muhammad Hilmi menyatakan bahawa dengan adanya aktiviti tersebut, ia diharap dapat membina keperibadian diri kanak-kanak khususnya dari segi kemahiran dan pemikiran mereka.

Jelasnya lagi, hal ini adalah selaras dengan aspirasi Perpustakaan DBP di negara ini bukan hanya sebagai gedung bagi memperkasa budaya membaca, malah ia juga mampu menjadi pusat pembangunan individu yang sememangnya menyediakan pelbagai aktiviti-aktiviti yang menarik dan menyeronokkan sekali gus dapat mengembangkan ilmu pengetahuan dan pemikiran semua lapisan masyarakat.

Sebahagian kanak-kanak kelihatan begitu teruja mengikuti aktiviti kraf tangan bagi mengisi masa lapang mereka sewaktu musim cuti penggal persekolahan ini.

Menurut pihak DBP Daerah Tutong, pada hari berkenaan, peserta berumur 12 tahun ke atas dari daerah tersebut juga berpeluang mengadakan lawatan ke Taman Eco Ponies, Kampung Bang Nukat, Lamunin, Daerah Tutong bersama rombongan peserta dari perpustakaan DBP cawangan lain.

Selain, DBP Daerah Tutong juga telah mengungkayahkan aktiviti lain pada hari-hari sebelumnya, antaranya ‘Treasure Hunt’, mewarna, membaca bersama dan kuiz.

Dengan adanya aktiviti-aktiviti sebegini, ia juga secara tidak langsung dapat menggalakkan masyarakat di negara ini khususnya golongan muda untuk berjinak-jinak dengan mengunjungi perpustakaan dan aktif menyertai pelbagai aktiviti dari semasa ke semasa.