Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan penggunaan perpustakaan, Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), cawangan Muara telah mengadakan Hari Terbuka Perpustakaan, Cawangan Muara, hari ini.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.
Juga hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman.
Pengisian program pada acara berkenaan ialah pelbagai aktiviti, pameran, jualan dan riadah berbasikal sejauh 15km yang bermula dan berakhir di perpustakaan berkenaan.
Sepanjang acara, orang ramai juga berkesempatan untuk menyaksikan pameran dan mendengar taklimat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mengetahui dengan lebih lanjut tentang tatacara penggunaan alat pemadam api.


Menurut kenyataan yang diberikan, acara berkenaan juga merupakan salah satu usaha DBP khususnya Bahagian Perpustakaan untuk mempromosi perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan kepada orang ramai.
Ia diadakan sebagai manifestasi kepada kepentingan perpustakaan sebagai media utama dalam menyebarkan dan mendapatkan sumber maklumat.
Strategi acara ini diadakan adalah untuk menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjaga kepentingan dan menggalakkan masyarakat celik ilmu pengetahuan melalui budaya membaca.
Selain itu, ia juga untuk menyampaikan peranan dan fungsi perpustakaan dalam menggalakkan budaya membaca pada era teknologi masa kini, dan membantu dan merealisasikan wawasan negara 2035 iaitu ke arah melahirkan masyarakat Brunei yang berilmu pengetahuan, bermaklumat dan berdaya saing.
Manakala itu, objektifnya pula adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan membaca dalam kalangan masyarakat, meningkatkan tahap pembacaan rakyat Brunei, melestarikan pembelajaran sepanjang hayat dan cintakan ilmu, menjadikan Perpustakaan DBP sebagai pusat perujukan maklumat kebangsaan berkaitan pembacaan dan galakan membaca serta menambah pengetahuan dan pengalaman berkaitan dengan literasi kepada pustakawan, pendidik, pelajar dan orang ramai.





























