Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Dis – Dengan bermodalkan $6,000 dan masa sebulan, tiga orang belia tempatan telah berjaya menubuhkan sebuah gim latihan kecergasan bagi mempelajari sukan tinju di Bangunan Seri Petani Jaya, Kampong Sengkarai, Tutong.
Salah seorang pengasas Syarikat Wolfpack, Awang Muhammad Izzat bin Mohd Azmi menjelaskan, beliau memilih industri tersebut kerana ia mempunyai potensi untuk meningkatkan perekonomian negara. Selain itu, golongan muda dan belia pada masa ini semakin minat kepada sukan tinju.
Beliau juga memberitahu bahawa sukan tinju juga mempunyai potensi menarik perhatian pengunjung khususnya pelancong-pelancong di negara ini. Ini kerana pada masa ini, ahli-ahlinya banyak mengikuti pertandingan di luar negara dan banyak bekerjasama dengan orang luar.
Dengan adanya kerjasama ini, tambahnya, sudah pasti ramai ahli-ahli sukan tinju di negara luar ingin melawat ke gim berkenaan, jelasnya. Syarikat Wolfpack yang turut diusahakan bersama Awang Muhammad Adib bin Pehin Haji Sulaiman dan Richard Lim itu juga dapat mengisi masa lapang sebagai aktiviti sukan para belia.
Sejak dibuka pada Mac 2017, ahli-ahlinya semakin bertambah kepada 20 orang malah ramai yang terus datang hanya untuk belajar sukan tinju. Awang Muhammad Izzat mengongsikan bahawa banyak cabaran yang telah mereka lalui antaranya untuk mencari pelanggan atau ahli-ahli baru.
Katanya, kebanyakan orang berpendapat sukan tinju ini bersifat ekstrem.
“Walau bagaimanapun, sukan ini banyak memberikan faedah kepada mereka yang menyertai. Antara faedahnya adalah meningkatkan prestasi kesihatan peserta, meningkatkan stamina, mengurangkan berat badan, meningkatkan keyakinan dan semangat diri, dan juga dapat menjadikan seni mempertahankan diri,” jelasnya.
Mengenai dengan persaingan industri yang serupa, Awang Muhammad Izzat tidak melihat ia sebagai satu persaingan yang hebat bahkan beliau menganggap perindustrian itu memang patut dimajukan agar mereka dapat membuat kolaborasi atau bekerjasama supaya dapat menaiktarafkan sukan tinju di negara ini, sesuai dengan wawasan negara dalam meningkatkan gaya hidup yang sihat.
Beliau seterusnya menasihati mereka yang ingin menceburi bidang tersebut supaya kuatkan hati, jangan berputus asa dan banyakkan membuat penyelidikan. Selain itu, perlu mengenal banyak orang khususnya mereka yang berpengalaman dalam bidang itu.
Selaku wakil Wolfpack, beliau menyampaikan penghargaan kepada ahli-ahli keluarga dan kawan-kawan rapat yang memberikan sokongan dan dorongan dalam mencapai kejayaan mengusahakan industri berkenaan.
Beliau juga mengucapkan setinggi penghargaan kepada ahli-ahli dan orang ramai yang tidak kendur-kendur datang untuk belajar sukan tinju.
Salah seorang ahlinya yang aktif, Awang Muhd Firdaus bin Haji Abdul Kadir, 21, ketika ditemui berkata, beliau meminati sukan tinju kerana ingin mengekalkan stamina kesihatan dan belajar ilmu bela diri. Beliau mula belajar tinju pada tahun lalu dan hanya mengikutinya di gim Bandar Seri Begawan dan Kuala Belait.
Sejak gim latihan baru berkenaan dibuka di Daerah Tutong, mudah baginya untuk mengikuti latihan tinju memandangkan beliau tinggal di kawasan daerah berkenaan.
Awang Muhd Firdaus pernah mengikuti perlawanan Pahlawan Boxing yang diadakan di Kompleks Sungai Kebun dan mendapat pingat emas dalam kategori Featherweight (52Kg hingga 56Kg).
Sementara itu, Awang Elliswadi bin Buang, 25, yang telah bergiat aktif dalam sukan tinju sejak empat tahun yang lalu dan pernah mengikuti beberapa pertandingan di luar negara seperti di Kota Kinabalu dan Labuan pula mengongsikan bahawa beliau menyukai sukan tersebut kerana ia memberikan semangat tinggi kepada dirinya.