Oleh Ampuan Irma Susanti Ampuan Hussain
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Bagi meningkatkan dan menghalusi penguasaan Bahasa Melayu (BM) dalam bidang penyiaran, Bahagian Penyelidikan dan Perkembangan (Pusat Perkembangan Penyiaran) Radio Televisyen Brunei (RTB), baru-baru ini, telah mengadakan Kursus ‘Penggunaan Bahasa Dalam Penyiaran TV dan Radio’.
Kursus yang diadakan di Pusat Perkembangan Penyiaran, RTB Kampung Madang itu telah menyasarkan kalangan penyiar berita, penyiar rancangan TV, penyampai radio, wartawan berita, pegawai dari Unit Sari Kata dan penerbit rancangan.
Antara tajuk-tajuk khusus yang disampaikan termasuk ‘Penggunaan Bahasa di Media’, ‘Variasi Bahasa dan Dialek’ dan ‘Santun Bahasa’ yang telah disampaikan oleh penceramah undangan dari Universiti Brunei Darussalam, Dr. Hajah Fatimah binti Haji Awang Chuchu.
Di samping itu, para peserta juga dapat mempelajari dan mendalami ilmu kebahasaan melalui bengkel ‘Tatabahasa dan Ejaan’ serta ‘Kaedah dan Teknik Penterjemahan yang dikendalikan oleh Pegawai Bahasa dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Dayang Annisa binti Haji Moksin.

Di samping teori, para peserta juga dilibatkan dengan latihan-latihan amali untuk melihat sejauh mana tahap penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan peserta sendiri dan terbukti 99 peratus lulus dan beberapa peserta mencapai markah 75 peratus ke atas khususnya di Bahagian Sari Kata, Berita dan Rampai Pagi TV.
Kursus dua hari itu berakhir dengan majlis penutup dan penyampaian sijil kepada 32 orang pesertanya yang telah disempurnakan oleh Pengarah RTB, Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu.
Turut hadir ialah Pemangku Ketua Perkembangan dan Penyelidikan, Koh Tiew Chan; Pegawai Latihan, Dayang Nur Afidah binti Haji Abdul Malik selaku penyelaras bengkel dan pegawai-pegawai kanan RTB.