Tingkat hasil perekonomian

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan bakal melaksanakan dua projek pembinaan skim pengairan tambahan bagi kawasan penanaman  padi di Daerah Brunei dan Muara.

Dua projek tersebut ialah pelaksanaan Projek Imang Reservoir Improvements bersama Foundation Contractor & Engineering Sdn Bhd yang bertujuan meningkatkan kapasiti penyimpanan dan kualiti air di Empangan Imang dan satu lagi ialah projek Limpaki Seed Production Irrigation Pipeline dengan Seri Ghanimi Contractor Sdn Bhd yang akan menyediakan bekalan air yang efisien ke kawasan penanaman padi baharu seluas 50 hektar di kawasan kemajuan pertanian (KKP) Limpaki.

Sehubungan itu, satu majlis penandatanganan bagi perjanjian dua projek tersebut telah di adakan di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Sumber-sumber Utama, petang tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan kedua-dua penandatanganan tersebut ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong.

Bagi projek Imang Reservoir Improvements bersama Foundation Contractor & Engineering Sdn Bhd, mewakili bagi Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan ialah Pengarah jabatan, Hajah Aidah binti Haji Mohd Hanifah, manakala Foundation Contractor Engineering Sdn Bhd diwakili oleh pengarahnya, Abdul Kahar bin Haji Mohd Taha yang disaksikan pengarah syarikat sama, Ng Mong Teng.

Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan menyaksikan pertukaran dokumen antara pihak KSSUP dan Seri Ghanimi Contractor Sdn Bhd. – Gambar oleh Rahwani Zahari
Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan menyaksikan pertukaran dokumen antara pihak KSSUP dan Foundation Contractor & Engineering Sdn Bhd. – Gambar oleh Rahwani Zahari

Manakala bagi Projek Limpaki Seed Production Irrigation Pipeline dengan Seri Ghanimi Contractor Sdn Bhd pula, KSSUP diwakili oleh Hajah Aidah, sementara Seri Ghanimi Contractor Sdn Bhd pula diwakili oleh Pengarah Urusannya, Haji Hadanan bin Haji Yahya sambil disaksikan jurutera syarikat, Haji Awang Aspar bin Haji Damit.

Projek Imang Reservoir Improvements akan melibatkan kerja-kerja pengorekan dan mendalami dasar Empangan Imang termasuk pembersihan dan pembuangan kira-kira 724,000 m2 rumput-rumpai yang menutupi permukaan empangan, pembinaan permanent saddle dam di kawasan rendah bagi mengelakkan limpahan air daripada empangan; aktiviti-aktiviti berkaitan termasuk pembinaan coffer dam dan pembinaan haul roads.

Projek ini dijangka akan menambah kapasiti penyimpanan Empangan Imang sebanyak 1,000,000 m3 dan mampu menyumbang kira-kira 10 peratus tambahan bekalan air ke kawasan penanaman padi di Daerah Brunei dan Muara.

Sementara pelaksanaan Projek Limpaki Seed Production Irrigation Pipeline dengan Seri Ghanimi Contractor Sdn Bhd pula akan melibatkan penyambungan paip polyethelene (dia. 450mm) utama yang sedia ada di KKP Batong ke KKP Limpaki, dan pemasangan paip polyethelene (dia. 315mm dan dia. 125mm) untuk melengkapkan jaringan pembekalan sistem pengairan ke seluruh KKP Limpaki.

Sistem pengairan ke KKP Limpaki akan membolehkan kawasan ini diusahakan bagi pengeluaran padi menggunakan varieti padi berhasil tinggi.

Kedua-dua projek adalah sebahagian dari tiga projek utama skim pengairan yang dibiayai menggunakan peruntukan Rancangan Kemajuan Negara ke-11 di bawah gelaran 1101-002 Membina Skim Pengairan Tambahan bagi kawasan Penanaman Padi seluruh daerah.

Kedua-dua projek merupakan usaha berterusan jabatan dalam meningkatkan kawasan-kawasan penanaman padi yang mempunyai sistem pengairan yang lengkap, dan diharap dapat meningkatkan keluaran padi dan beras negara sekali gus dapat meningkatkan hasil perekonomian negara sejajar dengan hasrat kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Projek tersebut juga diharap dapat mengatasi masalah sumber pengairan yang tidak mencukupi yang dihadapi oleh sebahagian peladang padi di Daerah Brunei dan Muara.