Tingkat imej profesion jururawat dengan maklumat terkini

Oleh Nurdiyanah R.

Gambar serahan PENJURU

Ketika dunia dikejutkan dengan penularan wabak pandemik koronavirus atau COVID-19, kehidupan biasa sudah menjadi tidak normal yang bukan saja menjejaskan aspek ekonomi malah hal ehwal pendidikan sehingga boleh menggugat kestabilan sistem kesihatan.

Bagi sektor kesihatan, wabak itu telah mencetuskan perubahan yang tidak pernah berlaku sebelumnya sehingga memberi tekanan kepada kakitangan hospital terutamanya jururawat.

Ia juga telah mendedahkan jururawat kepada amalan penjagaan pesakit yang berubah secara drastik.

Pengalaman baharu lagi berharga yang dilalui oleh jururawat yang bertugas semasa pandemik itu telah dikongsikan semasa Seminar Nursing Potpourri bagi edisi ke-4 di Hotel Jeruton, Jerudong, baru-baru ini.

Seminar yang dihadiri oleh 100 orang jururawat dan bidan di seluruh negara itu mengetengahkan dua tajuk A National Qualitative Study on Nurses Experiences throughout COVID-19 Pandemic yang dibentangkan oleh Penolong Kanan Profesor dari Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Khadizah binti Haji Abdul Mumin dan Assertive Community Care yang dibentangkan oleh Pegawai Jururawat, Haji Mohammad Hannan bin Abdullah.

Memperkasa profesi para jururawat dan bidan

Seminar anjuran Persatuan Jururawat Negara Brunei Darussalam (PENJURU) sebagai badan profesional khusus untuk para jururawat, bidan dan profesion berkaitan dengannya yang berdaftar dengan Lembaga Jururawat untuk Brunei itu turut dihadiri oleh Yang Di-Pertua PENJURU, Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah binti Abdullah selaku tetamu kehormat majlis.

PENJURU merupakan ahli persatuan antarabangsa seperti Commonwealth Nurses and Midwives Federation dan International Confederation of Midwives yang membolehkannya memberi peluang kepada para jururawat dan bidan serta yang berkaitan dengannya diberikan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Sejajar dengan tugasan rasmi PENJURU yang terus komited untuk memajukan perkembangan profesional mereka dan bagi memenuhi kehendak peningkatan diri dan profesion kejururawatan melalui kegiatan-kegiatan yang dirancang sama ada di dalam dan juga luar negara, ia bermatlamat untuk melahirkan jururawat dan bidan yang sentiasa peka dengan perkembangan dan transformasi sistem perkhidmatan kesihatan terkini, lebih-lebih lagi dalam berdepan dengan krisis pandemik COVID-19.

Seminar medan perkongsian ilmu

Di samping itu, perkongsian para pembentang menerusi seminar itu juga akan menjadi inspirasi bagi semua untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran serta mengembangkan sikap positif terhadap profesion sebagai seorang jururawat dan bidan, selain mengembangkan keupayaan untuk menganalisis masalah dan bekerjasama dengan masyarakat.

Oleh yang demikian, perkara itu secara tidak langsung dapat melengkapkan diri mereka yang diberi amanah menggalas tanggungjawab itu dengan ilmu dan kemahiran serta kepercayaan menjalankan sebahagian tugas-tugas dalam bidang kemahiran doktor, juru farmasi, jurupulih, petugas mengambil darah termasuklah tugas ahli profesion yang lain dari semasa ke semasa.

Seminar bermatlamat untuk melahirkan jururawat dan bidan yang sentiasa peka dengan perkembangan dan transformasi sistem perkhidmatan kesihatan terkini.
Salah seorang pembentang ketika menyampaikan tajuk kajian semasa berlangsungnya seminar tersebut.
Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah semasa menyampaikan sijil penghargaan kepada dua orang penceramah seminar pada penghujung acara tersebut.

Kertas kerja yang dibentangkan oleh Dr Khadizah itu memetik kajian yang telah dijalankan oleh kumpulan penyelidik dari UBD dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, Negara Brunei Darussalam.

Ia juga adalah sebahagian daripada projek Awang Aminol Azrin bin Haji Maideen iaitu seorang pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan dari Institut Sains Kesihatan PAPRSB.

Dapatan daripada kajian itu mengongsikan mengenai pengalaman jururawat sewaktu pandemik COVID-19 melanda negara kita iaitu khususnya dalam tempoh peralihan dari tercetusnya pandemik hingga berada di Brunei yang pastinya telah mewujudkan rasa kegelisahan, ketakutan, tekanan dan juga pelbagai usaha progresif dan proaktif bagi mengatasi krisis pandemik.

Hakikatnya, perubahan itu amat baharu bagi mereka namun dapat diatasi setelah menggunakan strategi pengurusan secara bersistematik dan mengikut garis pandu yang telah disarankan oleh Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi yang berkenaan.

Segala musibah yang berlaku pasti ada hikmahnya, ia menjadikan cara operasi baharu sebagai titik permulaan untuk memastikan adanya cara perlindungan terkini disediakan untuk melindungi kesejahteraan jururawat.

Pengalaman sebegini begitu penting untuk diketengahkan kerana melalui sejarah dan kesan yang berlaku itu dapat dijadikan sandaran sebagai bahan kajian secara saintifik dan juga menjadi pembelajaran bagi langkah-langkah pencegahan jika berdepan dengan situasi kritis pada masa akan datang.

Menitikberatkan kualiti perawatan pesakit

Manakala itu, kertas kerja yang disampaikan oleh Haji Muhammad Hannan mengupas isu tatacara perawatan pesakit-pesakit mental setelah mereka dibenarkan keluar wad atau dari institusi-institusi mental.

Mengambil pendekatan cara perawatan yang dilakukan oleh sekumpulan kakitangan kesihatan mental di Amerika Syarikat sejak tahun 1970an lagi dan banyak dilaksanakan di beberapa buah negara telah membuktikan ia berjaya menurunkan kadar penahanan pesakit dengan tidak memerlukan pembiayaan yang tinggi jika dibandingkan dengan tatacara perawatan yang tradisional.

Apa yang penting, katanya, adalah kepuasan hati keluarga pesakit dan pesakit tersebut dapat tercapai dengan baik jika dibandingkan dengan tatacara perawatan tradisional yang dijalankan.

Menurut Haji Mohammad Hannan, tatacara rawatan berkenaan begitu menitikberatkan kualiti dan keselamatan pesakit terutamanya menerusi pendekatan yang assertive agar penahanan pesakit dapat dikurangkan.

Maka sekiranya hal berkenaan terjadi maka perbelanjaan penjagaan oleh kerajaan akan berkurang dari segi penahanan, penyembuhan awal dan makanan yang disediakan.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa tatacara rawatan berkenaan sememangnya boleh diserapkan kepada penjagaan pesakit dalam kalangan masyarakat di negara ini iaitu berdasarkan pengalaman kerja yang dilaksanakan dalam Community Mental Health dan Home Based Nursing di negara ini.

Tanai amanah, bersiap sedia tempuhi cabaran

Dengan adanya seminar itu, para peserta dapat meraih manfaat sepenuhnya terutama dalam aspek pembinaan ilmu demi memperkasakan perkhidmatan kejururawatan dan perbidanan menjadi lebih berdaya saing dan berprestasi tinggi di peringkat global masa kini.

Hal ini begitu penting untuk diterapkan kepada semua peserta kerana bidang kejururawatan dan perbidanan merupakan satu kerjaya profesional yang memerlukan kemahiran dan pengetahuan yang tinggi, komited, cekap dan sedia berkhidmat tanpa mengira tempat, bangsa dan agama.

Pelbagai usaha telah diambil oleh PENJURU dalam memajukan profesion kejururawatan dan perbidanan seiring dengan kemajuan sistem kesihatan negara bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan penduduk tanah air kita dengan menyelaras dan melaksanakan aktiviti-aktiviti pendidikan dalam perkhidmatan kerana jururawat dan bidan yang berdaftar.

Oleh yang demikian, kombinasi kemahiran dan pengetahuan yang tinggi sudah semestinya dapat membantu para jururawat dan bidan bersedia menghadapi sebarang situasi kritikal yang berpusatkan kepada pesakit dan komuniti.