Sunday, March 23, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kaedah pengajaran

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Seramai 130 guru Bahasa Inggeris dari sekolah rendah dan menengah kerajaan, swasta di seluruh negara hari ini menghadiri Persidangan Antarabangsa Persatuan Guru Bahasa Inggeris Brunei (BELTA) kali ke-6, 2018 yang berlangsung selama tiga hari sehingga 5 Ogos ini.

    Persidangan yang berlangsung di Hotel Badi’ah itu bertema Blooming Hots-Developing the Thinking Classroom dan dirasmikan oleh Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.

    Dr Haji Azman dalam ucapan perasmiannya berkata, “Tema ini sangat relevan dalam sektor pendidikan masa kini yang bukan saja di Negara Brunei Darussalam tapi secara globalnya di mana kita melihat permintaan dalam pasaran buruh telah mendorong sistem pendidikan beralih ke arah ini.”

    Beliau seterusnya menambah, akses kepada pemikiran dalam bilik darjah adalah literasi manakala kemahiran asas adalah kunci untuk membuka lebih banyak peluang pembelajaran yang berjaya dan ini tidak hanya eksklusif untuk pembelajaran dalam kelas sahaja.

    Menurutnya lagi, terdapat banyak data dan penyelidikan yang baik dan boleh dipercayai sekarang yang dapat membantu membuat keputusan, bahkan persidangan ini juga adalah sebagai platform yang ideal untuk penyelidikan dan berbincang.

    Dr Haji Azman semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa BELTA kali ke-6.
    Antara guru-guru Bahasa Inggeris dan tetamu lainnya yang hadir pada majlis tersebut.

    Beliau juga menjelaskan, Program Bimbingan Literasi dan Numerasi (LNCP) yang bermula pada Ogos 2016 merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan dalam meningkatkan pencapaian pelajar sekolah rendah dan menengah dalam literasi dan numerasi untuk meningkatkan kualiti pengajaran guru terutama yang mengajar Bahasa Inggeris dan Matematik.

    “Inisiatif lain, jelasnya, termasuk bimbingan membaca Program Pengukuhan Kemahiran Asas (PEKA) dan Program Membaca dan Menulis Gabungan Bunyi Kata (KGBK),” jelasnya.

    Persidangan Antarabangsa BELTA ini bertujuan untuk menjadi platform bagi guru dan pendidik untuk bertukar-tukar idea dan berkongsi pengalaman serta kemahiran mengajar di mana persidangan ini membentangkan 21 kertas kerja dan bengkel yang disampaikan oleh penyampai tempatan dan antarabangsa.

    Di samping itu, peserta juga berpeluang mendengar ucaptama pada majlis perasmian persidangan yang disampaikan oleh David Didau, yang merupakan seorang penulis dan jurulatih pendidikan yang terkenal di dunia.

    Persidangan Antarabangsa BELTA yang pertama diadakan pada tahun 2006, di mana persidangan itu berjaya menarik minat dan penyertaan orang ramai, sekali gus menjadikan persidangan ini dinanti-nantikan di kalangan guru sekolah dan pendidik di rantau ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda