Wednesday, December 4, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kaedah program pemulihan

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 18 Sept – Sebagai usaha ke arah mengemaskinikan kestabilan, pengurusan, prestasi dan kualiti kerja, seramai 19 orang pegawai dan kakitangan di bahagian institusi-institusi pemulihan telah menghadiri Taklimat ‘Leadership and Communication and Human Behaviour’ di Pusat Latihan, Jabatan Penjara Maraburong, Kampung Bukit Panggal, pagi tadi.

    Turut hadir mendengar taklimat tersebut ialah Ketua Pusat Latihan Penjara, Penolong Penguasa Penjara Haji Saini bin Haji Maidin; Timbalan Ketua Pusat Latihan (Akademik), Ketua Pegawai Penjara Hamdani bin Mohd Salleh dan Pegawai Pemerintah Institusi Penjara Wanita, Penguasa Penjara Pengiran Roslinawati binti Pengiran Haji Omar.

    Hadir bagi menyampaikan taklimat berkenaan ialah Mantan Timbalan Pengarah Akademi Konvensional Malaysia (AKM), Adinaraina S/O Subramaniam.

    Taklimat tersebut merupakan salah satu program bagi Bengkel Pengukuhan Program Pemulihan (3P) Jabatan Penjara bersama agensi-agensi pemulihan yang diadakan selama 11 hari, bermula 11 hingga 21 September semasa waktu bekerja.

    Adinaraina menyampaikan taklimatnya mengenai ‘Leadership and Communication and Human Behaviour’.

    Dengan adanya bengkel tersebut, ia dapat meningkatkan keberkesanan program pemulihan selaras dengan hasrat dan harapan agensi-agensi pemulihan dalam visi dan misi jabatan masing-masing iaitu menyediakan secara berterusan program-program pembentukan akhlak dan latihan kemahiran melalui pendekatan pemulihan yang sempurna supaya pesalah-pesalah insaf dan kembali ke pangkuan masyarakat dalam keadaan berilmu dan berakhlak.

    Taklimat dihadiri oleh peserta-peserta bengkel yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan kakitangan dari Jabatan Penjara Jerudong dan Maraburong, Penjara Wanita, Pusat Al-Islah, Biro Kawalan Narkotik, Kompleks Rumah Kebajikan di Jabatan Pembangunan Masyarakat, Cawangan Pusat Tahanan Polis Tentera, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pusat Dakwah Islamiah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda