Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mac – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan akan terus berusaha untuk memastikan adanya pertumbuhan yang pesat ke atas keluaran sektor pertanian, penternakan, perikanan dan perhutanan, serta sektor pelancongan dengan sasaran untuk meningkatkan sumbangan sektor-sektor berkenaan daripada 1 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2015 kepada 4 hingga 5 peratus KDNK menjelang 2020.
Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong berkata, pihak kementerian juga turut berusaha untuk mengurangkan pergantungan kepada perbelanjaan kerajaan bagi merealisasikan sasaran-sasaran tersebut, contohnya melalui kaedah Perkongsian Awam dan Swasta (PPP).
Dalam ucapan penangguhannya pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara, hari ini beliau turut menyatakan bahawa pihak kementerian amat yakin sektor pertanian dan perikanan berteknologi tinggi dapat membantu memacu pertumbuhan KDNK negara secara signifikan dalam beberapa tahun akan datang.
“Dengan demikian diharap sektor ini juga akan dapat menjana lebih banyak peluang pekerjaan, terutama di dalam keadaan di mana negara masih menghadapi kadar pengangguran yang agak tinggi ketika ini,” katanya.
Menyentuh mengenai sektor pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali berkata, pihak kementeriannya sering menerima banyak cadangan dari pelbagai pihak supaya mukim dan kampung di bawah jagaan masing-masing dimajukan sebagai destinasi pelancongan, contohnya Ayer Panas di Mukim Sukang, wasai-wasai Kampung Labi, kawasan Kampung Kuala Balai dan Taman Riadah Anduki.
Beliau turut mencadangkan supaya majlis-majlis perundingan mukim dan kampung yang berminat bagi mukim dan kampung mereka dimajukan sebagai destinasi pelancongan supaya menimba pengalaman daripada kejayaan yang telah dicapai oleh beberapa majlis-majlis perundingan mukim dan kampung di seluruh negara. Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali juga berkata, kementeriannya akan berusaha untuk memasukkan destinasi dan produk-produk serta aktiviti-aktiviti majlis perundingan mukim dan kampung berkenaan ke dalam pakej-pakej produk pelancongan yang bersesuaian, iaitu dengan mengambil kira produk-produk atau aktiviti-aktiviti pelancongan di kawasan sekitar yang berhampiran.
Beliau juga menekankan kementeriannya terus berusaha untuk mengembangkan beberapa buah destinasi baru yang difikirkan mempunyai potensi besar untuk dijadikan calon bagi pakej pelancongan seperti pantai-pantai dan taman-taman rekreasi perhutanan yang sudah dibangunkan.
Sementara itu, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah dalam ucapan penangguhannya berkata bahawa sebelum sebarang cadangan boleh diputuskan sebagai payu dan sesuai untuk dicadangkan atau sebaliknya, memerlukan penelitian terperinci yang mengambil kira pandangan menyeluruh yang menyeimbangkan pertimbangan berbagai-bagai aspek dan perspektif perlu dilalui.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin menjelaskan, inilah kaedah yang Kementerian Pembangunan cuba sedaya upaya gunakan sebagai pendekatan untuk menentukan projek-projek yang dianggap sebagai kepentingan dan berkeutamaan.
Terdahulu Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman dalam ucapan penangguhannya pula, menyatakan penghargaan kepada 16 orang ahli Majlis Mesyuarat Negara yang membangkitkan perkara-perkara berkaitan agama yang ada kepentingannya kepada orang ramai semasa perbahasan mengenai peruntukkan bagi kementeriannya.
Beliau menyatakan bahawa perkara-perkara yang dibangkitkan itu merupakan sumbangan ikhlas para ahli Majlis Mesyuarat Negara untuk membantu kementeriannya khasnya dan kerajaan amnya, bagi menambah elok dan meningkatkan mutu perkhidmatan agama termasuk dalam bidang pendidikan dan pelajaran agama, mengenai dakwah terutama sekali usaha untuk memandu atau untuk tidak membiarkan orang ramai terbiar, terus menerus keliru dan terpengaruh dengan maklumat-maklumat agama dalam media sosial yang tidak selaras dengan kefahaman dan amalan beragama masyarakat di negara ini.