Tingkat kefahaman fungsi perpustakaan

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 19 SEPT – Dalam mengetengahkan lagi kepentingan fungsi perpustakaan sebagai pusat pembelajaran, Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Daerah Belait telah menganjurkan bengkel bertajuk ‘Transformasi Perpustakaan’ yang menghimpunkan pustakawan dari perpustakaan-perpustakaan sekolah dan awam di daerah ini.

Bengkel berkenaan bukan sahaja diadakan untuk meningkatkan pemahaman mengenai fungsi perpustakaan tetapi juga menganalisis fungsi berkenaan dan usaha yang dilakukan untuk memastikan perpustakaan beroperasi dengan cekap dalam menyampaikan maklumat dan pengetahuan yang relevan.

Selain itu, bengkel juga bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara pustakawan dari seluruh Daerah Belait, pada masa yang sama menggalakkan perbincangan untuk menjana cadangan dalam membantu mempromosikan perpustakaan sebagai pusat pembelajaran dan lebih lagi.

Bengkel telah diisikan dengan pembentangan oleh fasilitator, Haji Abu Bakar bin Haji Zainal yang merupakan tenaga pengajar Politeknik Brunei dengan bertahun-tahun pengalaman bekerja dan membimbing pembangunan perpustakaan dalam menyediakan pengetahuan kepada orang awam.

Beliau antara lain mengetengahkan pelbagai isu dan masalah yang telah beliau lihat berkaitan perbezaan mengendalikan perpustakaan dengan kemajuan teknologi berbanding pada masa dahulu dan bagaimana mengatasinya dengan membangkitkan beberapa cadangan kreatif untuk membantu meningkatkan pengunjung.

Para peserta juga berpeluang menyuarakan kebimbangan dan isu-isu yang mereka hadapi dalam mengendalikan perpustakaan semasa sesi soal jawab.

Para peserta ketika sesi bergambar ramai selepas bengkel berkenaan berakhir. – Gambar oleh DBP Daerah Belait