Tingkat kefahaman solat fardu lima waktu

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Untuk meningkatkan tahap kefahaman mengenai kewajipan melaksanakan solat fardu lima waktu dengan sempurna, Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), dengan kerjasama Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan menganjurkan Jerayawara Menghalusi Solat Mazhab Syafi’i bagi Guru-guru Sekolah Rendah, Menengah dan Pusat Tingkatan Enam Seluruh Negara.

Jerayawara berlangsung selama enam hari bermula kelmarin di Auditorium 1, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS) bagi sesi pertama manakala itu, sesi selanjutnya akan diadakan di dewan dan pusat yang terpilih di seluruh negara.

Hadir sebagai fasilitator di setiap enam sesi jerayawara berkenaan ialah Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar yang telah menyampaikan tajuk ‘Menghalusi Tertib Solat Mazhab Al-Syafi’i’ pada sesi pertama.

Fokus utama yang beliau tekankan ialah rukun Fi’li iaitu cara solat bagi mencegah kemungkaran.

Beliau menjelaskan, dengan mendirikan solat dengan khusyuk dapat mencegah keburukan dan kemungkaran dan dalam reda Allah.

Jerayawara juga berobjektif untuk menghalusi segala rukun dan syarat solat fardu menurut Mazhab Syafi’i dengan mengukuhkan ketakwaan peserta demi menjaga solat fardu lima waktu dan mendirikannya secara berjemaah bersama keluarga dan masyarakat.

Jerayawara dikhususkan bagi pegawai-pegawai pelajaran dan guru-guru yang beragama Islam pusat tingkatan enam, sekolah menengah dan sekolah rendah di bawah Kementerian Pendidikan seluruh negara yang me-ngajar dalam berbagai-bagai mata pelajaran.

Antara para pegawai pelajaran dan guru-guru yang beragama Islam dari pusat tingkatan enam, sekolah menengah dan sekolah rendah di bawah Kementerian Pendidikan semasa menghadiri jerayawara solat tersebut.