Tingkat keimanan hadapi wabak COVID-19

Oleh Salawati Haji Yahya 

Umat yang berakidah adalah umat yang mempunyai kekuatan iman yang boleh diibaratkan seperti sebuah kebun atau taman.

“Jika tidak sentiasa disiram, akan layulah pokok-pokoknya, keringlah bunga-bunganya dan mungkin tidak akan menghasilkan buah.”

Perkara ini dijelaskan oleh Pensyarah Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Datin Hajah Norliza binti Dato Seri Setia Haji Mahalle semasa menyampaikan tazkriah bertajuk ‘Hadapi Pandemik COVID-19’ yang diadakan melalui platform Zoom baru-baru ini.

Tazkirah ini antara lain merujuk kepada Titah Perutusan Khas bagi Tahun Baharu Hijrah 1443/2021 Masihi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Iman sangat abstrak namun seseorang itu dapat merasa dan melihat melalui tanda-tandanya dan sukatan penanda aras itu selalunya daripada tanda tersebut.

“Kadang-kadang ianya sukar untuk diperhatikan oleh diri sendiri tapi ada ketikanya, apabila hati kita dijentik oleh Allah SWT, kita akan tiba-tiba duduk dan terfikir serta mula bermuhasabah diri,” tambahnya.

Antara yang menghadiri tazkriah ‘Hadapi Pandemik COVID-19’ baru-baru ini.
Datin Hajah Norliza semasa menyampaikan tazkriah bertajuk ‘Hadapi Pandemik COVID-19’ yang diadakan melalui platform Zoom baru-baru ini.

Ada kalanya, kita juga memerlukan orang lain untuk memperhatikan kita dan menjadi cermin untuk melihat tanda-tanda kesihatan dan kekuatan atau kelemahan iman kita.

Ini jelas sekali bahawa iman memerlukan pemerhatian yang sangat menyeluruh dan mendalam.

Iman setiap insan akan sentiasa turun dan naik dan inilah namanya manusia. Terkadang imannya berada di tahap yang tinggi dan ada kalanya pula ia rendah, yang boleh diibaratkan seperti bateri yang ada kalanya lemah dan perlu dicaj berulang kali untuk menaikkan semula tahap kekuatannya.

Iman adalah asas dalam amal ibadat dan jika ia lemah, Rukun Iman akan pincang, prestasi dalam beramal ibadat juga akan mengalami kualiti yang rendah dan tidak memuaskan.

Tapi jika iman tinggi, maka khair jua tinggi tapi jika sebaliknya, jika iman rendah maka khair jua turut rendah yang mana khair ini adalah kebaikan atau keselamatan.

Allah lebih sayang kepada hambaNya yang lebih kuat imannya kerana kesan doa yang dipohonkan itu juga terletak pada kekuatan iman kita.

Ada beberapa perkara yang perlu direnungkan untuk mengenal tanda-tanda lemahnya iman seseorang, jelasnya, dan ini antaranya, seorang yang tidak ada rasa bersalah apabila melakukan dosa atau maksiat atau kesalahan, malahan rasa seronok berbuat maksiat seolah-olah ianya perkara biasa.

Di akhir zaman ini, memang sering terjadi di mana perkara yang salah dan maksiat sudah dilihat seperti normal.

Selain itu, seseorang yang merasa susah untuk mendirikan sembahyang dan tidak merasa khusyuk dalam menunaikan sembahyang.

Bukan setakat itu, asyik merungut dengan takdir dan ketentuan Allah dan seolah-olah tidak berpuas hati dengan apa yang telah Allah SWT kurniakan kepadanya.

Tidak bersabar apabila menerima ujian daripada Allah dan sentiasa sibuk dengan urusan dunia jua antara tanda ianya lemah iman.

Malah mereka yang tidak merasakan apa-apa kesan apabila mendengar ayat-ayat suci Al-Quran dibacakan, juga antara mengenal tanda-tanda lemahnya iman seseorang itu.

Ke arah meningkatkan kualiti dan kekuatan iman seseorang seperti yang dianjurkan oleh ulama antaranya dengan menghadirkan diri ke majlis ilmu kerana ia banyak manfaat dan boleh recaj iman apabila sering mendengar kata-kata positif dan nasihat.

Selain mengamalkan zikir La ilaha Illallah sebanyak yang mungkin setiap hari.

Kalimah ini umpama memperbaharui bai’ah seorang muslim dan pengesahan kita bahawa tiada Tuhan melainkan Allah.

Dengan kerap mendengar ayat-ayat Al-Quran dan cuba menghayati serta memahami ayat-ayat tersebut.

Dalam situasi menghadapi pandemik ini, iman tidak boleh dibiarkan lemah dan semakin lemah, kerana ini akan menghancurkan umat Islam tapi ia perlu diperbaiki hari demi hari.

Semoga kita semua masyarakat Negara Brunei Darussalam dijauhkan daripada lemahnya iman seumpama ini dan negara kita yang tercinta yang kecil dan penduduknya juga tidaklah seramai negara jiran.

Jika masyarakat sudah mulai terjebak dalam penyakit iman yang lemah, ia akan mempersulitkan lagi proses untuk mempertingkat dan menguatkannya semula bagi membangun generasi yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT.

Sudah menjadi tanggungjawab setiap institusi keluarga untuk menjaga anak cucu serta keturunan supaya dapat memupuk generasi akan datang yang beriman lagi bertakwa kepada Allah.

Turut hadir pada tazkirah itu, Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Dalam suasana negara berhadapan dengan pandemik COVID-19, ia bukan jadi penghalang bagi warga UNISSA mengadakan acara bacaan Surah Yasin dan Tahlil pada setiap hari Khamis. Majlis ini telah memberi peluang warga UNISSA untuk menadahkan tangan berdoa memohon terselamat daripada bala dan segala jenis penyakit.