TEMBURONG, 26 Sept – Dalam usaha bagi meningkatkan lagi kemahiran para pelajar dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat secara lebih berkesan, seramai 59 orang mahasiswa dan mahasiswa Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), baru-baru ini, telah mengadakan lawatan sambil berdakwah ke Daerah Temburong.
Rombongan yang terdiri daripada pelajar Tahun 1 hingga 4 serta dua orang pensyarah itu menyasarkan program tersebut bagi saudara-saudara baru di daerah berkenaan yang tertumpu di dua buah masjid iaitu di Masjid Utama Mohammad Salleh dan Balai Ibadat Kampung Sibut, Daerah Temburong.
Antara pengisian program tersebut ialah Klinik Al-Fatihah, Program Fardu Ain dan ‘Kafe Usuluddin’ yang memfokuskan golongan saudara-saudara baru untuk memperbaiki mutu bacaan dalam solat dan memperkenalkan Sunnah Rasulullah S.A.W dalam aspek makanan dan minuman.

Program tersebut juga diselitkan dengan penyampaian tazkirah oleh mahasiswa-mahasiswi Fakulti Usuluddin.
Objektif utama program ini diadakan adalah bagi melahirkan sikap suka bermasyarakat dalam kalangan para mahasiswa, di samping dapat membina jati diri dan menambah lagi kemahiran para pelajar dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat secara praktikal khususnya kepada pelajar yang mengambil jurusan akidah dan dakwah.