Tingkat kemahiran digital generasi Asean

KUALA LUMPUR, 31 OGOS – Negara anggota ASEAN perlu melabur dalam generasi akan datang berikutan potensi rantau ini sentiasa dihadkan oleh perbezaan dalam kemahiran digital di antara negara, kata usahawan terkemuka Malaysia, Datuk Seri Vijay Eswaran.

Beliau berkata persekitaran COVID-19 telah mendorong pertumbuhan yang luar biasa dari segi kemahiran digital, terutamanya dalam kalangan golongan belia di ASEAN.

“Masa depan bergantung kepada bagaimana kemahiran digital ini akan menyatukan kita,” katanya, yang juga Pengerusi Eksekutif QI Group of Companies semasa berucap pada Forum Kepimpinan dan Kerjasama ASEAN 2020 dan Persidangan Maya baru-baru ini.

Beliau menyuarakan gesaan itu ketika Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN mengakhiri mesyuarat ke-52 mereka melalui platform digital.

Mereka turut menegaskan hasrat untuk memastikan kestabilan makroekonomi dan kewangan serta kesalinghubungan rantaian bekalan yang berterusan, khususnya bagi aliran barangan dan perkhidmatan penting di rantau ini yang diperlukan untuk menangani COVID-19.

Vijay berkata ia merupakan aspek digital yang mewakili bidang baharu dan keusahawanan dapat berkembang.

Kerajaan perlu bekerjasama untuk meningkatkan penggunaan digital, mempelajari kemahiran baharu, berfikir secara kreatif dan membangunkan model perniagaan baharu.

“Jika kita berfikir sebagai sebuah rantau, akan terdapat harapan sebenar untuk masa depan yang bergerak maju. Jika kita mula menyatakan ASEAN dahulu, justeru, ASEAN akan mempunyai masa depan yang berdaya maju untuk kita semua,” katanya.

Beliau juga berkata negara anggota ASEAN perlu bersatu sebagai blok perdagangan dan saingan yang baik, menggunakan pengaruh ekonomi mereka untuk bersaing dengan kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat.

Sebaliknya, jika mereka terus tidak bersatu dan bertindak secara unilateral, negara anggota menghadapi risiko untuk menjadi tidak relevan. – Bernama