Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mei – Seramai 15 orang pegawai dan anggota daripada Pusat Latihan Polis Pasukan Polis Diraja Brunei yang diketuai oleh Pemangku Timbalan Komandan Merangkap Adjutan, DSP Haji Justin bin Haji Yacob telah mengikuti Taklimat Kepimpinan dan Komunikasi di Universiti Teknologi Brunei (UTB), kelmarin.
Hadir menyampaikan taklimat mengenai kepimpinan ialah Penolong Naib Canselor (Akademik), Dr. Hajah Noor Maya binti Haji Mohd Salleh yang menyentuh mengenai ciri-ciri kepimpinan yang cemerlang ke arah pembentukan sifat yang positif serta memberi keyakinan diri dan nilai murni.
Di samping itu, beliau juga memberi pendedahan terhadap konsep pengurusan organisasi yang berkesan.

Sementara itu, Dr. Lee Kok Yueh yang menyampaikan taklimat mengenai komunikasi pula telah memberikan pendedahan mengenai konsep komunikasi yang efektif dan merupakan satu pendekatan yang baik dalam memajukan diri untuk mencapai matlamat pasukan.
Menurutnya, segala maklumat yang diterima akan menjadi panduan yang berguna untuk memimpin pasukan dengan cemerlang dan dapat meningkatkan lagi kemahiran kepimpinan dan pengurusan yang berkesan.