Thursday, April 24, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kemahiran kepimpinan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Okt – Seramai 28 orang pegawai kerajaan yang mengikuti Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) telah berlepas ke Bangkok, Thailand, semalam, bagi Program Outreach Inovasi Sosial.

    Lawatan kerja empat hari itu diketuai oleh Pembantu Naib Canselor (Akademik) Universiti Teknologi Brunei, Dr Hajah Noor Maya binti Haji Mohd Salleh.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan UTB, rombongan berkenaan telah melawat Sasin Graduate Institute of Business Administration of Chulalongkorn University untuk mengikuti kuliah mengenai kemapanan, keusahawanan dan keusahawanan sosial di Thailand.

    Para peserta juga menghadiri kuliah mengenai peranan-peranan kerajaan dalam menyokong perusahaan sosial dan menyertai perbincangan panel bertajuk ‘Masa Depan Perusahaan Sosial di Thailand’.

    Semasa lawatan kerja itu, para peserta juga melawat organisasi-organisasi kerajaan dan swasta bagi pendedahan strategik terhadap etika-etika kerja, prosedur kerja dan pemikiran strategik yang boleh dipelajari dan digunakan di jabatan dan kementerian para peserta.

    Kenyataan menambah, program itu juga menyediakan peluang-peluang berharga bagi para peserta untuk menjalin rangkaian dan bertukar-tukar idea dengan rakan-rakan sejawatan yang berkaitan.

    EDPSGO adalah program selama 28 minggu yang memfokuskan dalam melengkapkan pegawai-pegawai kerajaan dengan kemahiran-kemahiran untuk memimpin organisasi, yang akan menjadikan mereka seorang pemimpin yang boleh dipercayai dalam perkhidmatan awam ke arah Wawasan Brunei 2035.

    Edisi ke-26 program berkenaan telah bermula Julai lalu dan dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan dikendalikan oleh UTB.

    Seramai 28 orang pegawai kerajaan, yang mengikuti Program Outreach Inovasi Sosial di Thailand, bergambar ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sebelum berlepas ke Bangkok.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda