Tingkat kemahiran menerusi kegiatan bukan akademik

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jan – Walaupun pencapaian akademik merupakan matlamat utama bagi para mahasiswa dan mahasiswi Universiti Brunei Darussalam (UBD), mereka juga harus sentiasa meningkatkan kemahiran mereka menerusi kegiatan-kegiatan bukan akademik kerana ia akan banyak membantu mereka untuk menjadi graduan yang holistik dan cemerlang, selaras dengan hasrat UBD.

Penekanan itu dibuat oleh Pemangku Naib Canselor UBD, Dayang Rubiah binti Haji Yacub ketika menyampaikan ucapan khas semasa Minggu Pelajar Baru UBD Pengambilan Januari 2017 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, hari ini.

“Melalui elemen-elemen Program GenNEXT seperti nilai-nilai kepimpinan, keusahawanan, kesedaran alam sekitar dan inovasi dan digabungkan lagi dengan kemahiran dan pengalaman yang diperoleh, akan menyerlahkan lagi diri kita untuk menjadi pelajar dan belia yang ideal dan lebih cemerlang dalam menyumbang sepenuhnya kepada agama, masyarakat, bangsa dan negara dengan berpandukan falsafah Melayu Islam Beraja.”

Beliau berkata lagi dalam dunia masa kini, dengan hanya mempunyai keputusan baik adalah tidak memadai kerana pada masa ini, para graduan perlu menjadi lebih relevan serta boleh berubah mengikut keadaan dan mempunyai kemahiran untuk lebih menyerlah serta menjadi aset yang berguna kepada negara.

Dayang Rubiah yang menghadiri majlis berkenaan.
Dayang Rubiah yang menghadiri majlis berkenaan.
Dayang Rubiah menyeru kepada para pelajar UBD bahawa walaupun matlamat utama mereka adalah untuk mencapai kecemerlangan akademik, namun begitu mereka tidak harus mengabaikan usaha untuk meningkatkan kemahiran mereka supaya menjadi seorang graduan yang lebih holistik.
Dayang Rubiah menyeru kepada para pelajar UBD bahawa walaupun matlamat utama mereka adalah untuk mencapai kecemerlangan akademik, namun begitu mereka tidak harus mengabaikan usaha untuk meningkatkan kemahiran mereka supaya menjadi seorang graduan yang lebih holistik.
Bacaan ikrar oleh pelajar-pelajar baru Universiti Brunei Darussalam.
Bacaan ikrar oleh pelajar-pelajar baru Universiti Brunei Darussalam.

“Para majikan sedang mencari calon-calon pekerja yang mempunyai kemahiran berkomunikasi yang cemerlang, kemahiran kepimpinan yang baik, mampu berfikir secara kritikal, mampu membuat penilaian kuantitatif, kreatif dan boleh berfikir secara inovatif dengan mempunyai perspektif global,” tambahnya.

Dayang Rubiah berkata bahawa UBD menerusi Program GenNEXT boleh membantu para pelajar untuk membangunkan kesemua kemahiran berkenaan tetapi ia terletak di bahu para pelajar berkenaan untuk mengambil tawaran berkenaan.

Di antara yang hadir di majlis itu.
Di antara yang hadir di majlis itu.

Mengulas lanjut mengenai Program GenNEXT, Dayang Rubiah berkata ia mengetengahkan elemen kepimpinan, inovasi, keusahawanan dan kesedaran alam sekitar di mana ia mempunyai modul yang seimbang, memberikan pelajar fleksibiliti untuk memilih isi kandungan masing-masing supaya dapat membentuk dan menjadikan ia lebih relevan kepada kerjaya pilihan mereka.

Salah satu lagi ciri menarik Program GenNEXT ialah Discovery Year (Tahun Penemuan) di mana para pelajar berpeluang untuk mengalami sendiri pembelajaran dunia sebenar di mana mereka boleh menyertai program pembelajaran di luar negara, mengikuti penempatan kerja di syarikat-syarikat swasta, memulakan projek inovatif atau melibatkan diri dalam projek pendekatan komuniti.

“Setiap pilihan akan membawa pengalaman dan ilmu pengetahuan yang berbeza tetapi amat berguna sekali,” tambah beliau lagi.