Tingkat kemahiran teknikal, pedagogi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Program Penaikan Kemahiran Teknikal merupakan projek kerjasama di antara SEAMEO VOCTECH, TEMASEK Foundation dan Institut Pendidikan Teknikal Singapura (ITE Singapura) yang bermatlamat untuk meningkatkan kemahiran teknikal dan pedagogi jurulatih-jurulatih mahir dalam bidang Perkhidmatan Cemerlang dalam Hospitaliti, Perkhidmatan Restoran dan Automotif menerusi penyertaan mereka dalam program latihan di ITE Singapura.

Ia juga dihasratkan untuk meningkatkan kemahiran teknikal dan pedagogi jurulatih-jurulatih yang lain dengan penganjuran bengkel perkongsian pasca latihan di negara-negara tuan rumah peserta program, jelas Pengarah Pusat, SEAMEO VOCTECH Brunei Darussalam, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli dalam kata alu-aluannya pada Majlis Program Penaikan Kemahiran Teknikal bagi Guru dan Jurulatih TVET di Asia Tenggara dan Mesyuarat Lembaga Penguasa SEAMEO VOCTEH ke-30 yang berlangsung di Dewan Seri Kerna, Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, Gadong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para jurulatih mahir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

Sementara itu, Pengarah Lembaga, TEMASEK Foundation, Goh Yong Siang dalam ucapannya menyatakan bahawa program latihan memberikan peluang yang baik bagi pendidik TVET di ASEAN untuk menukarkan ilmu pengetahuan dan berkongsi pengalaman dalam pendidikan TVET antara satu sama lain.

Manakala itu, Pengerusi Perkhidmatan Pendidikan ITE Singapura, Heng Chiang Gnee menyatakan harapan bahawa projek kerjasama itu dapat me-ngukuhkan lagi hubungan persahabatan antara komuniti TVET di rantau Asia Tenggara dan akan membuka ruang bagi lebih banyak kerjasama antara negara-negara berkenaan pada masa akan datang.

Beliau juga menyatakan penghargaan kepada SEAMEO VOCTECH atas komitmen dan dedikasinya dalam pelaksanaan projek berkenaan yang mana ia menunjukkan bahawa SEAMEO VOCTECH mengenal pasti akan pentingnya TVET dalam menangani keperluan sosial dan ekonomi sesebuah negara khususnya dalam pembangunan tenaga manusia yang berkemahiran untuk menyokong pembangunan ekonomi serta mengurangkan pengangguran golongan belia.

Pada majlis berkenaan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah menyampaikan sijil penyertaan kepada para jurulatih mahir yang berjaya menamatkan latihan dalam tiga bidang iaitu Perkhidmatan Cemerlang dalam Hospitaliti, Operasi dan Perkhidmatan Restoran dan Kejuruteraan Automotif.

Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah menyampaikan sijil kepada salah seorang jurulatih mahir yang berjaya menamatkan program penaikan kemahiran itu.