Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Tingkat kemahiran usahawan belia

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Lebih banyak organisasi diseru untuk mengambil bahagian serta menyediakan kontrak kepada usahawan-usahawan belia bagi memperoleh pengalaman dalam menyediakan perkhidmatan kepada program i-Usahawan Bukan Tenaga.

    Seruan itu dibuat oleh Darussalam Enterprise (DARe) yang menjelaskan bahawa program i-Usahawan Bukan Tenaga pada masa ini menawarkan lebih 50 peluang perniagaan oleh lapan buah organisasi untuk direbut oleh usahawan belia.

    Kontrak pertama di bawah program berkenaan telah dianugerahkan oleh Muara Maritime Services Sdn Bhd (MMS) kepada Iftikhar Trading Company untuk menyediakan perkhidmatan pembersihan bagi tempoh dua tahun, dengan majlis penandatanganan rasmi berlangsung di Bangunan Rekaan dan Teknologi, Anggerek Desa pada 1 November lalu.

    Ketua Sokongan dan Pembangunan Perniagaan DARe, Dayang Norlela binti Suhailee berkata, DARe bekerjasama rapat dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi kontrak-kontrak untuk i-Usahawan secara strategik dengan mengumpulkan skop kerja berpotensi dan menawarkan bimbingan yang boleh membimbing usahawan-usahawan i-Usahawan dalam perjalanan perniagaan mereka.

    Sementara itu, Pengarah Iftikhar, Dayang Nurfakhriah Kasmi menyatakan penganugerahan kontrak itu menandakan usaha strategik baharu bagi perniagaannya yang pada awalnya bermula dari rumah pada 2015, menjual makanan dan menyediakan perkhidmatan katering kepada sekolah-sekolah.

    Dengan pandemik COVID-19 yang menjejaskan teruk operasi makanannya, Dayang Nurfakhriah mengambil keputusan untuk meneroka peluang lain dengan ilham daripada syarikat-syarikat yang menggunakan i-Usahawan untuk beralih ke dalam aktiviti perniagaan baharu.

    Mengenal pasti potensi i-Usahawan untuk membina saluran rakan kongsi perniagaan berkualiti, MMS sebuah usaha sama antara Darussalam Assets dan pembina kapal Jerman, Lurssen Internaval GmbH juga mempunyai kontrak lain bagi program berkenaan termasuk perkhidmatan pengangkutan dan kandungan multimedia.

    Program i-Usahawan Bukan Tenaga memanfaatkan platform pemadanan perniagaan dan perolehan dalam talian DARe LINKS, di mana klien boleh mengiklankan peluang-peluang perniagaan yang dapat dipohonkan oleh vendor.

    Setelah mendaftar di DARe LINKS, perniagaan-perniagaan akan berupaya untuk memohon bagi peluang-peluang i-Usahawan.

    DARe akan menghubungi usahawan-usahawan belia yang berminat untuk menghadiri bootcamp perniagaan mandatori selama dua minggu yang ditaja sepenuhnya untuk membantu mempersiapkan mereka bagi perkembangan perniagaan dan penenderan.

    DARe juga akan mengadakan pemeriksaan rutin untuk memastikan peserta-peserta i-Usahawan menerima sokongan semasa pelaksanaan kontrak mereka yang termasuk mengakses inisiatif-inisiatif lain DARe seperti bimbingan, pembiayaan dan latihan khusus.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...