Tingkat kepekaan cuaca negara

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Seramai 138 orang daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, penuntut-penuntut sekolah serta orang awam menghadiri Taklimat Cuaca Kebangsaan yang berlangsung di Auditorium Jabatan Penerangan, Lapangan Terbang Lama, hari ini.

Taklimat merupakan salah satu inisiatif Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dalam usaha meningkatkan penglibatan kumpulan-kumpulan pengguna seperti kumpulan tindakan awal dan keselamatan, kumpulan ekonomi dan industri, syarikat-syarikat pembinaan, syarikat insurans, perusahaan kecil dan sederhana serta pihak media massa.

Selain itu, matlamat utama taklimat adalah untuk meningkatkan kefahaman dan kepekaan pelbagai kumpulan pengguna dan orang ramai mengenai dengan keadaan cuaca semasa bagi Negara Brunei Darussalam.

Ia juga diharap dapat memudah cara kesiapsiagaan kumpulan pengguna dalam menghadapi cuaca pada masa sekarang.

Antara yang hadir mendengarkan Taklimat Cuaca Kebangsaan di Jabatan Penerangan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani