BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Menyedari akan terdapatnya beberapa laporan yang melibatkan kes bunuh diri atau percubaan membunuh diri di kalangan masyarakat baru-baru ini, Kementerian Kesihatan dalam pada itu ingin memberikan nasihat kepada orang ramai bahawa membunuh diri adalah satu isu kesihatan awam yang mempunyai kesan terhadap sosial, emosi dan hasil ekonomi.
Dalam kenyataan siaran akhbar Kementerian Kesihatan hari ini menyatakan bahawa faktor-faktor yang membuatkan seseorang individu untuk membunuh diri adalah termasuk masalah kesihatan mental seperti kemurungan, ketagihan seperti penyalahgunaan dadah dan masalah sosioekonomi seperti masalah hutang, kewangan dan hubungan.
Sementara itu, pencegahan bunuh diri yang berkesan memerlukan penglibatan daripada pelbagai sektor kerajaan dan bukan kerajaan serta penglibatan masyarakat. Selain itu, kesedaran dan kefahaman awam tentang kejadian bunuh diri juga memainkan peranan penting dalam pencegahannya, serta boleh menggalakkan mereka yang berisiko untuk membunuh diri mendapatkan pertolongan.
Dalam pada itu, mana-mana individu yang mengalami pemikiran untuk bunuh diri dinasihatkan untuk mendapatkan bantuan segera dan rawatan awal.
Kementerian Kesihatan ada menyediakan klinik-klinik psikologi secara ‘walk-in’ yang menyediakan perkhidmatan kaunseling dan ‘terapi bercakap’. Perkhidmatan in boleh didapati di Bahagian Psikologi Klinikal Jabatan Perkhidmatan Perubatan, Tingkat 2, Hostel Jururawat Lama, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan Bahagian Psikologi Kemasyarakatan, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan , Tingkat 1, Simpang 32 – 37, Flat B30, Anggerek Desa, Jalan Berakas.
Dalam kes-kes kecemasan di mana seseorang individu berisiko tinggi untuk membunuh diri, dan di luar waktu pejabat, maka individu tersebut dinasihatkan untuk pergi ke Jabatan Kemalangan dan Kecemasan di hospital terdekat untuk dinilai dan dirawat. Doktor kesihatan mental secara ‘on-call’ boleh didapati 24 jam sehari untuk menilai pesakit-pesakit apabila diperlukan.
Manakala, dalam kes-kes bukan kecemasan, orang ramai juga boleh mendapatkan bantuan profesional kesihatan dari mana-mana pusat kesihatan terdekat. Para doktor akan dapat membuat penilaian dan memberikan pesakit-pesakit rawatan yang bersesuaian. Di samping itu, para pesakit juga boleh dirujuk kepada pakar kesihatan mental atau pakar psikiatri.
Rujukan untuk berjumpa pakar kesihatan mental akan dikendalikan di tempat-tempat berikut secara temu janji iaitu di Perkhidmatan Psikiatri, Simpang 253-79, Kampung Kiarong, Bandar Seri Begawan; Perkhidmatan Psikiatri, Pusat Kesihatan Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Asam, Mukim Lumapas; Perkhidmatan Psikiatri, Pusat Kesihatan Jubli Perak Sengkurong, Kilometer 16, Jalan Tutong, Kampung Sengkurong; Perkhidmatan Psikiatri, Pusat Kesihatan Berakas, Jalan 10 Selatan, Rancangan Perumahan Negara Lambak Kanan; Perkhidmatan Psikiatri, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda
Haji Al-Muhtadee Billah,Tutong; Perkhidmatan Psikiatri, Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait; Perkhidmatan Psikiatri, Pusat Kesihatan Sungai Liang, Sungai Liang; Perkhidmatan Psikiatri, Pusat Kesihatan Seria, Jalan Lorong 1 Barat, Seria dan Perkhidmatan Psikiatri, Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Temburong.
Kementerian Kesihatan juga ingin menekankan kepentingan memberi sokongan kepada individu yang berisiko untuk membunuh diri dan melayan individu tersebut dengan hormat. Ini juga termasuk menghubungi pihak ambulans atau polis untuk bantuan jika seseorang itu berisiko untuk membunuh diri.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan lagi, pada masa ini kementerian berkenaan sedang berusaha untuk menubuhkan sebuah talian bantuan (helpline) bagi membantu mereka yang berfikir untuk membunuh diri atau bagi mereka yang memerlukan nasihat untuk membantu seseorang yang berfikiran untuk membunuh diri. Kementerian ini akan memaklumkan kepada orang awam sebaik sahaja talian bantuan ini ditubuhkan.
Dalam hal ini juga, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati akan individu atau entiti yang tidak bertauliah yang mendakwa menyediakan bantuan atau perkhidmatan kesihatan mental secara profesional untuk menangani perihal bunuh diri, sama ada melalui Internet, nombor telefon atau aplikasi mudah alih yang tidak disahkan di negara ini.