Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – Untuk meningkatkan kefahaman dan kepekaan pelbagai kumpulan pengguna dan orang ramai mengenai keadaan cuaca semasa bagi Negara Brunei Darussalam, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) telah mengadakan Taklimat Cuaca Kebangsaan ke-20 di Dewan Auditorium Jabatan Penerangan, hari ini.
Taklimat kali ini yang dihadiri oleh seramai 85 wakil daripada agensi-agensi kerajaan, pihak swasta dan orang ramai, telah disampaikan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Kajicuaca, Awang Hassanul Kamal bin Haji Adam yang menjelaskan mengenai monsun barat daya.
Beliau telah memfokuskan kepada keadaan cuaca, iklim dan ramalan cuaca jangka panjang bagi monsun barat daya yang telah bermula minggu terakhir Mei lalu dan dijangka akan berterusan sehingga hujung September depan.
Semasa monsun ini keadaan atmosfera di negara ini pada kebiasaannya agak stabil dengan kejadian ribut petir setempat yang berkurangan. Walau bagaimanapun, hujan berangin ribut akan kerap berlaku apabila ribut tropika berada berdekatan dengan rantau kita. Keadaan angin secara amnya akan bertiup dari arah barat daya semasa tempoh ini.
Awang Hassanul Kamal menjelaskan lanjut, monsun barat daya juga sinonim dengan musim pembentukan sistem ribut tropika dan taufan di kawasan barat laut Lautan Pasifik dan Laut China Selatan.
Kesan pengaruh daripada sistem ribut tropika atau taufan yang berdekatan dengan rantau kita boleh menyebabkan pembentukan fenomena garis badai yang akan menjadikan negara ini mengalami keadaan cuaca tidak menentu dengan ribut petir berserta angin kencang sekali-sekala. Manakala sekitar Ogos, kebiasaannya negara akan mengalami keadaan berjerebu disebabkan cuaca kering di rantau Asia Tenggara.
Mengambil kira kemungkinan berlakunya El-Nino semasa monsun ini, negara dijangka akan mengalami aktiviti hujan yang berkurangan dengan peningkatan suhu udara dan kelembapan relatif yang rendah.
Keadaan cuaca kering dan panas dijangka berlaku dalam beberapa bulan yang akan datang dengan berkemungkinan peningkatan suhu maksimum harian mencecah 34 darjah Celsius atau lebih pada waktu petang.
Cuaca Panas Melampau (EHW) atau biasa dikenali sebagai kejadian gelombang haba di Negara Brunei Darussalam cenderung berlaku semasa episod El-Nino.
EHW berlaku apabila suhu maksimum harian merekodkan sekurang-kurangnya 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut, jelas beliau lagi.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar mengambil sebarang langkah berjaga-jaga dan keselamatan serta mematuhi mana-mana garis panduan daripada Kementerian Kesihatan berhubung keadaan cuaca panas.
Taklimat berkenaan merupakan salah satu inisiatif BDMD dalam usaha meningkatkan penglibatan kumpulan-kumpulan pengguna seperti kumpulan tindakan awal dan keselamatan, kumpulan ekonomi dan industri, syarikat-syarikat pembinaan, syarikat-syarikat insurans, perusahaan kecil dan sederhana serta pihak media massa.
Ia juga akan dapat memudah cara kesiapsiagaan kumpulan pengguna dan orang ramai dalam membuat perancangan dan sebarang tindakan awal dalam menghadapi sebarang keadaan cuaca.