Tingkat kesedaran amalan hijau

Gambar serahan BIBD

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Dalam usaha berterusannya untuk menggalakkan generasi masa kini dan masa depan untuk mengamalkan amalan hijau dalam memastikan gaya hidup lestari, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mengendalikan bengkel tentang mengurangkan sisa makanan di Brunei bagi pelajar BIBD ALAF, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan BIBD, bengkel berkenaan diadakan dengan kerjasama Kilang Reroot, satu projek di Brunei yang membantu meningkatkan kesedaran mengenai makanan yang dimakan dan menangani isu-isu sisa makanan menerusi bengkel-bengkel dan projek guna semula makanan.

Kenyataan menyatakan, bengkel bermatlamat untuk memperkenalkan sifar sisa dan kehidupan hijau kepada pelajar BIBD ALAF menerusi amalan-amalan pengurusan sisa yang mudah dan kreatif.

Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar dipetik menyatakan, “Sebagai rakan dalam kemajuan bagi masa depan lestari, inisiatif ini selaras dengan dedikasi yang terus berkembang untuk menyokong Matlamat Pembangunan Mapan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN SDG), dalam hal ini, Matlamat no 12 iaitu untuk memastikan penggunaan dan pengeluaran bertanggungjawab serta Matlamat no 13 yang menumpukan tindakan iklim.

“Ini juga menggambarkan komitmen kami untuk menyokong usaha-usaha kerajaan dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035 menerusi ekonomi hijau dengan patuh Maqasid Syariah,” tambah beliau.

Beberapa aktiviti seperti kuiz-kuiz, aktiviti pengomposan dan permainan kitar semula mengisi program sepanjang hari itu yang diadakan dari pukul 9 pagi hingga 5 petang di Bangunan PGGMB di ibu negara.

Seramai 50 orang pelajar Tahun 4, 5, 7, 8, 9 dan 10 termasuk pelajar-pelajar yang tidak menduduki peperiksaan utama dan pelajar menengah bawah telah menyertai bengkel berkenaan.

Gambar ramai para pelajar BIBD ALAF yang menyertai bengkel tentang mengurangkan sisa makanan di Brunei yang berlangsung kelmarin.
Para pelajar BIBD ALAF ketika menyertai salah satu aktiviti yang diadakan semasa bengkel sehari yang diadakan di Bangunan PGGMB, kelmarin.