Kepentingan mempelajari bahasa isyarat setahu saya pernah disuarakan di ruangan Pendapat Pembaca dalam Media Permata.
Pada pandangan peribadi saya, pembelajaran bahasa isyarat ini perlu diperkasakan di kalangan masyarakat. Mungkin sesetengah orang akan menganggapnya remeh dan merasakannya tidak begitu penting dan hanya digunakan pada waktu-waktu tertentu. Namun pernahkah kita terfikir bahasa isyarat ini amat diperlukan ketika berinteraksi dengan mereka yang mengalami masalah kekurangan jika berlakunya kecemasan atau ketika berurusan dengan pekerjaan.
Sebagaimana yang saya alami sendiri baru-baru ini, ketika berurusan dengan penjawat awam dari kalangan OKU di salah sebuah pejabat kerajaan amat menyukarkan saya untuk berinteraksi, di mana saya terpaksa menulis pada kertas apa yang hendak saya sampaikan.
Tidak dinafikan terdapat inisiatif telah dilakukan untuk memperkasakan bahasa isyarat di negara ini namun kurang mendapat sambutan daripada orang ramai malah kebanyakan orang lebih berlumba-lumba mempelajari bahasa-bahasa asing seperti Bahasa Korea, Jepun dan sebagainya sehingga menyisihkan bahasa isyarat yang sebenarnya penting dipelajari.
Baru-baru ini juga saya ada terbaca satu perkongsian di laman Facebook yang memberikan pandangan pembelajaran bahasa isyarat ini, di mana pengongsi mengatakan bahasa isyarat perlu diterapkan dalam pendidikan sekolah. Mungkin pihak relevan dapat mempertimbangkan pandangan beliau dan menjadikan pembelajaran bahasa isyarat ini sebagai salah satu aktiviti kokurikulum.
Di samping itu juga, pihak relevan mahupun orang awam sendiri perlu mengadakan banyak lagi bengkel dan kelas bahasa isyarat ini bagi meningkatkan kesedaran kepada orang awam kepentingan mempelajarinya.
Ahli Teropong