Tingkat kesedaran bahaya dadah

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Usaha terus dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran golongan muda khususnya pelajar sekolah mengenai bahaya dadah di mana ilmu pengetahuan mengenainya penting dalam menyelamatkan diri, masyarakat dan negara daripada gejala dadah serta dapat memastikan orang ramai mendapat fakta yang betul mengenai bahaya dadah.

Sehubungan itu, Persatuan Basmi Dadah Negara Brunei Darussalam (BASMIDA) menganjurkan Kegiatan Pendidikan Pencegahan Penyalahgunaan Dadah (PDE) berupa Kuiz Anti Dadah dan Pameran Anti Dadah yang berlangsung di Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB).

Kegiatan itu dihadiri oleh para pelajar sekolah berkenaan di mana mereka berpeluang untuk menguji ilmu pengetahuan mengenai bahaya dadah menerusi Kuiz Anti Dadah serta mendapatkan penerangan daripada pegawai-pegawai Biro Kawalan Narkotik (BKN) menerusi pameran yang dijalankan.

Turut menyertai kegiatan berkenaan ialah cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-Ul Bolqiah dan cucunda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Pengiran Anak Adriana Haziqah Jaida Bulqiah.

Semasa kegiatan berkenaan, Yang Di-Pertua Persatuan BASMIDA, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali selaku pengerusi Kegiatan PDE, memberikan penerangan dan mengendalikan sesi kuiz bersama para pelajar sekolah berkenaan.

YAM Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-Ul Bolqiah menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datin Hajah Masni semasa Kegiatan Pendidikan Pencegahan Penyalahgunaan Dadah berkenaan. Turut hadir ialah Pengiran Anak Adriana Haziqah Jaida Bulqiah.

Datin Hajah Masni menyatakan bahawa kempen yang dijalankan oleh BASMIDA dengan pendekatan Islamik itu adalah selaras dengan dasar Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir yang mengamalkan cara hidup Islam dan berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja bertujuan menuju ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035.

“Saya amat percaya cara PDE menggunakan pendekatan Islam ini dapat menanamkan dan menerapkan nilai-nilai yang boleh mencegah daripada membuat perkara-perkara maksiat dan yang dilarang seperti menyalahgunakan dadah terkawal,” jelasnya.

Kegiatan PDE bertujuan untuk meningkatkan maklumat betul mengenai dadah-dadah terkawal dan kesedaran awal akan kesan negatif ke atas pembelajaran dan masa depan pelajar.

Kegiatan itu juga mengetengahkan pameran daripada BKN yang menunjukkan bentuk dan rupa dadah yang terkawal dari segi undang-undang negara dan antarabangsa.

Penekanan penyebaran maklumat mengenai bahaya dadah kepada golongan muda juga diutamakan di mana mereka sentiasa terdedah dengan pelbagai maklumat melalui pelbagai media, Internet dan juga rakan sebaya.