Tingkat kesedaran bahaya kebakaran

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran para pekerja mengenai bahaya kebakaran serta langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil semasa kecemasan, Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi F, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah mengadakan Taklimat Keselamatan Umum, Life Saver 995 bagi kakitangan Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC), baru-baru ini.

Taklimat yang diadakan di Bangunan BGC, Jerudong itu melibatkan seramai 34 orang kakitangan syarikat berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi F, di sini, taklimat menerangkan mengenai keselamatan umum, Life Saver 995, pengosongan bangunan, mengangkat mangsa dan tunjuk cara menggunakan alat
pemadam api yang betul mengikut jenis.

Taklimat serta latihan itu dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran para pekerja mengenai bahaya kebakaran dan meningkatkan keselamatan semasa keadaan cuaca tidak menentu, memupuk rasa tanggungjawab dan mengambil berat tentang aspek keselamatan kebakaran dalam bangunan serta untuk membolehkan interaksi, kerjasama dan mengukuhkan lagi hubungan antara JBP dengan pihak BGC.

JBP turut menyarankan supaya orang ramai akan meningkatkan kewaspadaan dan mengambil langkah-langkah keselamatan semasa cuaca tidak menentu, memastikan pemasangan dan penyambungan pendawaian elektrik dibuat oleh orang yang berkemahiran dan diiktiraf atau bertauliah dan mendapat kelulusan daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Elektrik serta sentiasa meningkatkan pencegahan kebakaran, tidak merasa cemas sekiranya berlaku sebarang kecemasan dan menghubungi talian kecemasan bomba 995 dengan memberikan maklumat yang tepat.

Para kakitangan diberikan tunjuk ajar mengenai penggunaan alat pemadam api yang betul, baru-baru ini.
Anggota bomba dan penyelamat menyampaikan taklimat keselamatan kebakaran kepada kakitangan BGC.