Monday, March 24, 2025
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kesedaran bahaya pengaruh tembakau

    Oleh Normazlina M.D

    TUTONG, 28 Sept – Bagi meningkatkan kesedaran para pelajar terhadap kepentingan penjagaan kesihatan serta menjauhkan diri daripada pengaruh tembakau semasa di sekolah, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-sekolah dengan kerjasama Pusat Promosi Kesihatan telah mengadakan Bengkel ‘Kesedaran Keburukan Penggunaan Tembakau’ bagi Kaunselor-kaunselor dan Guru-guru Kanan Bahagian Hal Ehwal Pelajar Sekolah-sekolah Menengah/Maktab dan Pusat Tingkatan Enam bagi Kluster 5 dan 6, petang tadi.

    Hadir menyampaikan bengkel tersebut yang diadakan di Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Pekan Tutong itu ialah Pegawai Penyelidik Ugama, Bahagian Hal Ehwal Pentadbiran, Jabatan Mufti Kerajaan, Haji Martino @ Abdul Azim bin Haji Ahmad; Pegawai Unit Penguatkuasaan Kesihatan Perkhidmatan Peraturan-peraturan Kesihatan di Kementerian Kesihatan, Hajah Norliza binti Haji Abdul Halim dan pegawai dari Pusat Promosi Kesihatan, Dr Siti Rosemawati binti Haji Mohd Yussof.

    Menurut Pemangku Penolong Pengarah, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar di Jabatan Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan, Hajah Jeriah binti Haji Duraman yang juga selaku pengerusi, bengkel ini merupakan kesinambungan daripada bengkel yang diadakan di Pusat Promosi Kesihatan pada 14 September yang lalu bagi kaunselor-kaunselor dan guru-guru kanan Bahagian Hal Ehwal Pelajar sekolah-sekolah menengah/maktab dan pusat tingkatan enam bagi kluster 1, 2, 3 dan 4.

    Antara objektif bengkel ini diadakan ialah bagi meningkatkan motivasi dan keyakinan diri serta memupuk semangat untuk menjauhi gejala dan pengaruh tembakau bagi mewujudkan masyarakat yang membudayakan gaya hidup sihat.

    Haji Martino @ Abdul Azim menyampaikan taklimat kepada para peserta bengkel.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda