Tingkat kesedaran isu perubahan iklim

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Peningkatan kesedaran dan pendidikan merupakan elemen penting dalam tindak balas terhadap isu perubahan iklim di mana ia akan membantu masyarakat untuk memahami sebab dan impak atau kesan perubahan iklim.

“Pendekatan ini juga penting untuk meningkatkan literasi perubahan iklim di kalangan generasi muda. Perubahan tingkah laku dan sikap adalah perlu bagi memastikan dan mempersiapkan orang ramai untuk menyesuaikan diri dengan perubahan iklim.”

Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad ketika berucap di Bengkel Pasukan Petugas Dokumen Operasi bagi Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCP) yang berlangsung di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan, baru-baru ini.

Dr Haji Azman berkata lagi bahawa pendidikan khususnya inisiatif penyelidikan mengenai perubahan iklim dan alam sekitar adalah kunci menuju masyarakat hijau, rendah karbon dan berdaya tahan iklim. “Pelbagai inisiatif telah dibuat di semua peringkat dan melalui bengkel ini, ia diharap akan membuka peluang baru ke arah pendekatan yang lebih koheren dan sistematik.”

Bengkel dua hari yang diadakan pada 14 dan 15 September itu, menumpukan kepada Strategi 10 iaitu Kesedaran dan Pendidikan di mana ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan mengenai usaha pengurangan dan adaptasi terhadap perubahan iklim.

Strategi itu menyasarkan penglibatan semua peringkat masyarakat bersesuaian dengan pendekatan menyeluruh secara seluruh negara (whole of nation). Strategi itu juga membincangkan lanjut lagi input yang diterima daripada bengkel-bengkel yang diadakan sebelum ini.

Bengkel yang dikendalikan bersama oleh Kementerian Pendidikan dan Urus Setia Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam selaku peneraju utama dan disokong oleh pemudah cara dari Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd itu telah dirasmikan oleh Dr Haji Azman.

Dr Haji Azman bergambar ramai dengan peserta Bengkel BNCCP yang berlangsung di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya pada baru-baru ini. – Gambar serahan Urus setia Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam