Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Tingkat kesedaran jangkitan penyakit seksual dalam kalangan belia

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JAN – Usaha terus dilaksanakan untuk menyebarkan maklumat dan meningkatkan kesedaran mengenai jangkitan penyakit seksual dalam golongan belia termasuk pelajar sekolah menerusi Program Kesedaran HIV bagi Belia dan Rakan Sebaya (HAPPY).

    Program anjuran Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDAIDS) itu merupakan sebuah projek yang diterajui oleh belia bagi menyebarkan kesedaran mengenai HIV termasuk ilmu pengetahuan mengenai kehamilan remaja serta jangkitan penyakit seksual (STI) dalam kalangan remaja dan belia.

    Kira-kira 161 pelajar Tahun 10 dan 175 orang pelajar Tahun 11, Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SM SMJA) mengambil bahagian dalam program itu, kelmarin.

    Semasa program itu, mewakili Majlis BDAIDS untuk menyampaikan ceramah ialah Penyelaras Projek HAPPY, Dayang Siti Kailene binti Jazlan Kashfi serta sukarelawan-sukarelawan daripada Pasukan HAPPY.

    Dayang Siti Kailene mengongsi statistik tempatan terkini STI dan kehamilan remaja dengan mengetengahkan usia serta jantina yang mendominasi statistik itu.

    Beliau turut menyatakan angka itu boleh dikurangkan dengan mengamalkan sikap berpantang sebagai sebahagian daripada kaedah untuk mencegah golongan belia daripada terlibat dalam tabiat berisiko yang boleh membawa kepada jangkitan STI, hamil di luar nikah atau perkahwinan muda.

    Program HAPPY merupakan sebuah program interaktif yang menggabungkan audio dan visual serta juga aktiviti interaktif bagi menyampaikan mesej yang disesuaikan kepada golongan muda mengikut situasi tempatan.

    Majlis BDAIDS berharap agar para pelajar akan membawa pulang mesej-mesej yang disampaikan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran mereka serta untuk dilaksanakan dalam gaya hidup seharian mereka.

    Dayang Kailene menyampaikan taklimatnya kepada pelajar-pelajar yang menghadiri Program HAPPY. – Gambar serahan Majlis BDAIDS
    Dayang Kailene menyampaikan taklimatnya kepada pelajar-pelajar yang menghadiri Program HAPPY yang diadakan sebagai sebahagian daripada program kesedaran sekolah yang berlangsung di SM SMJA, kelmarin.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...