Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 FEB – Sempena Sambutan Hari Kanser Sedunia 2020 setiap 4 Februari di seluruh dunia, Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC) malam ini telah melancarkan ‘Shine the Light on World Cancer Day’ bertempat di Veranda hadapan Arca Kristal, Jerudong Park.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar selaku timbalan pengerusi Lembaga Pengarah PJSC.
Juga hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku pengerusi Lembaga Pengarah Jerudong Park Country Club (JPCC); Pengarah Eksekutif PJSC, Dr Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar; dan Pengarah Awam JPCC, Hajah Siti Suhaila binti Dato Paduka Haji Kani.
Pembukaan lampu Arca Kristal berkenaan merupakan satu inisiatif pusat berkenaan untuk Negara Brunei Darussalam dengan menyambut baik Sambutan Hari Kanser Sedunia bagi tahun ini. Penyalaan Arca Kristal itu akan diteruskan sehingga 9 Februari ini.
Diketuai oleh Union of International Cancer Control (UICC), Hari Kanser Sedunia merupakan satu inisiatif yang disambut oleh masyarakat seluruh dunia bagi tujuan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang kanser.

Menurut Dr Mazrul Adimin, kanser dapat dicegah dengan meningkatkan pengetahuan serta kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya kanser dan daripada pengetahuan tersebut, mereka akan dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa.
“Sejak 2018, PJSC mewakili Negara Brunei Darussalam untuk menyambut acara berkenaan dengan slogan yang digunakan selama tiga tahun berturut-turut bermula 2019 hingga 2021 iaitu ‘I am and I Will’.
Kempen ini merupakan sebuah kempen yang dilaksanakan untuk menjana perubahan dan menggerakkan tindakan sepanjang masa.
Beliau juga berkata, sepanjang tahun ini, PJSC selaku pusat perubatan pakar melalui Pusat Kanser Brunei telah berikrar untuk membuat langkah yang proaktif dan mengadakan pelbagai aktiviti dengan tujuan memberi pengetahuan, mengesan lebih awal dan mencegah kanser bersama-sama rakan kongsi dari pihak kerajaan, swasta dan agensi
bukan kerajaan tempatan dan antarabangsa.
PJSC juga akan mempersembahkan sebuah video blog secara langsung di platform UICC yang mempersembahkan aktiviti-aktiviti yang lepas dan akan datang.
Antara aktiviti-aktiviti yang diadakan sempena Hari Kanser Sedunia termasuklah meraikan Hari Kanser Sedunia pada 4 Februari ini bersama pesakit-pesakit kanser di pusat itu.
PJSC dengan kerjasama Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan akan menganjurkan acara ‘Berjalan, Berlari, Berbasikal Hari Kanser Sedunia’ pada 9 Februari ini di mana acara larian 1.5km dijangka disertai Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Hari Kanser Sedunia diraikan di seluruh dunia dengan tujuan untuk mengurangkan kematian yang disebabkan kanser dengan meningkatkan kesedaran mengenainya, memberikan pengajaran serta menggalakkan semua pihak untuk mengambil tindakan-tindakan yang tertentu ke arah mencegah kanser.




























