Tingkat kesedaran kanser payudara

Oleh Imelda Groves HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kanser payudara, Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Brunei (BBCSG) menganjurkan Seminar Kesedaran Kanser Payudara dan melancarkan Buku Al-Quran Terapi Kanser sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2018, hari ini.

Perasmian seminar dan pelancaran buku berkenaan pada majlis yang berlangsung di Dewan RF, Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC), Jerudong, telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman selaku tetamu kehormat majlis.

Yang Di-Pertua BBCSG, Hajah Aminah binti Haji Momin @ Ratu Hajah Aminah binti Pengeran Hawa Haji Momin dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, buku yang dilancarkan itu dihasratkan dapat menjadi bahan bacaan dan sumber rujukan kepada sesiapa saja bukan hanya kepada para pesakit.

“Buku ini juga dapat memperkasa setiap individu dan masyarakat di negara ini untuk mencintai Al-Quran dan menjadi warga sihat bersama Al-Quran dalam menanai bersama Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir,” jelasnya.

Beliau memberitahu, orang ramai boleh mendapatkan buku berkenaan dengan bersedekah ke Tabung Kanser Payudara serendah $2 .

Haji Abdul Manap ketika merasmikan seminar dan pelancaran buku berkenaan.

Menjelaskan mengenai seminar yang julung-julung kalinya diadakan sempena Bulan Kesedaran Barah Payudara yang diadakan pada setiap 5 Oktober itu, beliau berkata, ia membawa tema ‘Menghadapi Kanser Payudara dari Perspektif Perubatan, Spiritual, dan Sokongan Kumpulan Rakan Sebaya’.

Menurut beliau, ia merupakan sebagai usaha kumpulan berkenaan untuk mendedahkan kepada masyarakat, orang ramai dan para pesakit kanser payudara akan peri pentingnya meningkatkan kesedaran dalam menangani atau menghadapi kanser payudara serta menjaga pemakanan dan persekitaran dalam kehidupan sehari-hari.

Dengan terlaksananya seminar dan pelancaran buku berkenaan, beliau berkata, ia akan dapat memberi pemahaman dan kesedaran kepada masyarakat di negara ini akan kepentingan menjaga kesihatan secara holistik termasuk cara perubatan moden atau menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran yang banyak mengandungi ayat-ayat syifa.

Di samping itu, tambah beliau lagi, hasil daripada seminar berkenaan akan membuka ruang dan peluang kepada semua lapisan masyarakat di negara ini untuk memberi galakan, semangat dan sokongan moral khususnya kepada mangsa kanser payudara dan keluarga mahupun pesakit-pesakit kanser yang lainnya di negara ini selaras dengan objektif dan matlamat penubuhan BBCSG yang turut mendukung slogan Kementerian Kesihatan, ‘Bersama Ke Arah Warga Sihat’.

Dalam kesempatan itu, beliau juga menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kerana telah menghulurkan dana bagi penerbitan buku-buku yang amat berharga berkenaan.

Antara tajuk-tajuk yang dibawakan pada seminar berkenaan ialah ‘Menghadapi Kanser Payudara dari Prespektif Perubatan’ yang disampaikan oleh Pegawai Perubatan Onkologi PJSC, Dr Raden Mas Jeffri bin Raden Mas Ismail bersama Pensyarah Kanan di Universiti Brunei Darussalam, Dr Hajah Mas Rina Wati binti Haji Abdul Hamid.

Diikuti lagi pada sesi kedua dengan seminar membawa tajuk ‘Kanser dari Perspektif Perubatan Islam’ yang disampaikan oleh Haji Sammali bin Haji Adam dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan ‘Kongsi Pengalaman Sokongan Kumpulan Rakan Sebaya’ yang disampaikan oleh Hajah Masjuwita binti Haji Abdul Hamid.

Manakala itu, taklimat dan penerangan pemeriksaan sendiri payudara pula telah disampaikan oleh Setiausaha BBCSG, Datin Hajah Dayang Jaliha binti Haji Momin.