Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 1 Mei – Pelbagai juadah makanan dan masakan India serta tempatan disajikan pada Pesta Makanan Amal yang dianjurkan oleh Persatuan India Belait (IAB) di Pusat IAB, di sini.
Acara tersebut diadakan antara lain bertujuan untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan ahli-ahli persatuan berkenaan dan masyarakat umum untuk mendapatkan perlindungan insurans melalui Skim Takaful Brunei Keluarga Sdn Bhd, selain untuk memberikan peluang kepada masyarakat untuk menyumbang ke arah sokongan insurans bagi kategori berpendapatan rendah.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan Naib Presiden IAB, Sanjay Mishra dan majlis juga mengambil kesempatan berdiam selama seminit sebagai tanda hormat kepada mendiang Mantan Presiden IAB, Devarajan Narayanasamy yang telah meninggal dunia baru-baru ini.
Kemudian, majlis disusuli dengan pengenalan ringkas mengenai bagaimana dan kenapa IAB terlibat dengan skim insurans tersebut seterusnya menyatakan bahawa IAB telah mula menyertai skim itu pada tahun 2013 dan telah dirasmikan pelancarannya pada 15 Ogos 2013.

Menurut Sanjay Mishra, ahli-ahli IAB dalam usaha memberigakan skim berkenaan telah menemui pekerja-pekerja yang mempunyai pendapatan rendah di beberapa buah restoran, kedai-kedai jahit, kedai kecil dan juga khemah-khemah pekerja buruh di Kuala Belait dan Seria untuk menerangkan dan memberi pemahaman kepada mereka tentang skim insurans berkenaan dan bagaimana ia bermanfaat kepada mereka dan keluarga masing-masing.
“Maklum balas daripada perjumpaan tersebut telah dibincangkan dengan pihak Takaful Brunei dan pakej telah dibina untuk Skim Group Term Life (GTL) daripada Takaful Brunei Keluarga Sdn Bhd, bagi membantu kumpulan yang berpendapatan rendah, sementara IAB akan menyumbang sebahagian daripada premium tahunan,” katanya.
Majlis juga diteruskan dengan taklimat terperinci mengenai Skim GTL oleh pihak Takaful yang diketuai oleh Penolong Pengurus Am Takaful Brunei Keluarga Sdn Bhd, Awang Mohammad Fuad Hamdi P.D.Salim, seterusnya acara sesi soal jawab turut diadakan selepas itu. Lebih 200 orang terdiri daripada kalangan ahli-ahli IAB, orang ramai dan juga jemputan lainnya menghadiri majlis tersebut.