Tuesday, March 25, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kesedaran keselamatan di zon sekolah

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    SERIA, 3 Okt – Bagi meningkatkan lagi kesedaran tentang keselamatan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah St Angela, di sini, telah mengendalikan Kempen Hari Kesedaran Keselamatan.

    Program tersebut diisikan dengan pengedaran risalah keselamatan kepada pemandu kenderaan yang melintasi zon sekolah tersebut dengan hasrat mengongsikan tentang pengetahuan dan kesedaran keselamatan terutama sekali keselamatan jalan raya.

    Beberapa orang ibu bapa memberitahu, mereka rasa gembira kerana dapat melibatkan diri dalam kempen seperti itu untuk sama-sama melaksanakan tanggungjawab dalam terus menanamkan kesedaran tentang keselamatan kepada orang ramai. Di samping itu, taklimat keselamatan turut diadakan yang disampaikan oleh Penasihat Keselamatan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, Awang Zulkefli bin Haji Mohammad Yassin.

    Murid-murid turut menyertai Kempen Hari Kesedaran Keselamatan dengan mendengarkan taklimat dan menjawab kuiz.

    Sementara itu, murid-murid sekolah berkenaan turut terlibat dan menunjukkan keseronokan kerana sama-sama menyertai kempen dan berpeluang menjawab Kuiz Keselamatan yang diadakan selepas taklimat.

    Turut diadakan adalah penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan melukis poster keselamatan kepada murid-murid yang menyertainya, seterusnya lukisan-lukisan yang menang turut dipamerkan di dinding-dinding iklan sekolah.

    Hadir sama pada kempen tersebut ialah Presiden PIBG sekolah tersebut, Haji Jamaluddin bin Mohammad Yassin yang juga telah menyampaikan ucapan penghargaan dan tahniah atas pengendalian kempen itu, bagi sama-sama menyuntik semangat sentiasa menyedari akan keselamatan semua.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda