Tingkat kesedaran keselamatan Internet

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Julai – Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Brunei (BruCERT), baru-baru ini, telah mengadakan taklimat kesedaran mengenai keselamatan Internet di Maktab Duli Pengiran Muda AI-Muhtadee Billah (Maktab Duli) yang dihadiri oleh kira-kira 400 pelajar menengah enam bawah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pada taklimat berkenaan, Ketua Pelatih BruCERT, Pengiran Mohd Farid Zulhusni bin Pengiran Aziz telah menekankan mengenai ancaman siber terkini yang trending di seluruh dunia.

Di samping ancaman dalam talian, beliau juga membincangkan panggilan penipuan antarabangsa yang menyamar nombor tempatan. Para pelajar mempunyai soalan menarik mengenai topik berkenaan dan dinasihatkan untuk tidak mendedahkan sebarang butiran peribadi, kata laluan atau maklumat bank.

Pengiran Mohd Farid Zulhusni ketika menerima cenderamata daripada pelajar Maktab SOAS.
Pengiran Mohd Farid Zulhusni bergambar ramai bersama murid-murid SR Haji Mohd Jaafar Maun.

Kenyataan menambah, BruCERT juga telah mengadakan taklimat kesedaran yang serupa di Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (Maktab SOAS) di ibu negara dan Sekolah Rendah (SR) Haji Mohd Jaafar Maun, baru-baru ini.

Dalam taklimat berkenaan, para pelajar dijelaskan mengenai cara untuk kekal selamat dalam media sosial dan tip mengukuhkan kata laluan. Pengiran Mohd Farid Zulhusni juga berkongsi beberapa kes jenayah siber yang telah berlaku di Brunei.