Tingkat kesedaran kesihatan dan keselamatan industri pembinaan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Memandangkan lonjakan kluster jangkitan COVID-19 dalam industri pembinaan kebelakangan ini, PUJA Academy Sdn Bhd telah menganjurkan dua sesi webinar mengenai pelan kelangsungan perniagaan (BCP) dan peraturan kesihatan dan keselamatan, baru-baru ini.

Webinar yang diadakan dengan kerjasama Syarikat Joffren Omar Sdn Bhd dan Pakar Tenaga Bersatu berkenaan disertai oleh lebih 100 orang peserta yang terdiri daripada ahli-ahli PUJA dan profesional dalam industri pembinaan dengan matlamat untuk berkongsi pengetahuan oleh pengamal-pengamal industri dan bagi mewujudkan kesedaran mengenai kesihatan dan keselamatan di tempat kerja serta bagaimana melaksanakan BCP.

Menurut kenyataan PUJA, webinar mengenai Kesedaran BCP telah diadakan pada 17 November dan dikendalikan oleh Ketua Jabatan Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam
Sekitar (HSSE) Joffren Omar, Lowey Jee Palma.

Objektifnya adalah untuk memberigakan kepada para peserta tentang faedah BCP kepada sesebuah organisasi, peranan dan tanggungjawab pengurusan atau tindak balas krisis pasukan serta untuk membangunkan dan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan sebagai langkah untuk mengenal pasti risiko tertentu.

Sementara itu, sesi webinar mengenai Peraturan Keselamatan dan Kesihatan yang diadakan pada 18 November pula telah dikendalikan oleh Pengarah Urusan Pakar Tenaga Bersatu, Pengiran Hishamuddin Alli bin Pengiran Jaya Indera Pengiran Haji Mokhtar Puteh.

Beliau menjelaskan rangka kerja perundangan keselamatan dan kesihatan tempat kerja di Negara Brunei Darussalam, membincangkan peranan dan tanggungjawab kesihatan dan keselamatan pihak yang berkaitan.

PUJA Academy Sdn Bhd berhasrat akan terus aktif menawarkan webinar dan kursus maya untuk menambah baik kecekapan ahli-ahlinya dan mereka dalam industri pembinaan, dengan misi untuk menggalakkan kesedaran, meningkatkan pengetahuan dan pengalaman dari semasa ke semasa.